Mayat Anggota Tentera Darat Di Temui

Mayat anggota tentera terlibat dalam latihan Eksesais PARA Predator di Kampung Batu Bor, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Pahang ditemui lengkap berpakaian kira-kira 7.55 pagi tadi.

Mangsa, anggota tinjau Kompeni PANDURA, Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, ditemui di kawasan Kampung Serengkam, Maran, kira-kira 40 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

 



“Operasi mencari dan menyelamat untuk hari ini memberi tumpuan di sepanjang Sungai Pahang dari Kampung Batu Bor sehinggalah ke sempadan Chenor, Maran.

“Kita menerima makluman daripada penduduk kampung yang terbabit dalam operasi dan mereka memaklumkan (mayat) dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang ditemui terapung dengan pakaian seragam lengkap,” katanya.



Ismail berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk bedah siasat.

Petang semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dilaporkan turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.

 



Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan berkata pihaknya berharap orang ramai tidak menyebarkan gambar penemuan mayat bagi menjaga perasaan keluarga mangsa.

Pada 29 Ogos, Mohamad Azrin, 25, dari Sungai Petani, Kedah, dilaporkan hilang semasa menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang dari Kampung Batu Bor ke Kampung Bohor Baru, yang merupakan sebahagian daripada modul eksesais itu.

 



Mangsa dikatakan tenggelam semasa hampir tiba ke tebing sungai dan cubaan rakannya untuk menarik Mohamad Azrin gagal, sebelum bapa kepada seorang anak perempuan berusia sembilan bulan itu hilang daripada pandangan.

Eksesais PARA Predator merupakan latihan berskala besar selama dua minggu. Ia adalah satu daripada eksesais TDM melalui 10 Briged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka dengan penglibatan hampir 1,900 pegawai dan anggota.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker