Shasha Bersyukur Sentiasa Dapat Tawaran

 

Pelakon baharu, Shasha Abedul dalam bidang lakonan semakin membuahkan hasil lumayan apabila dihujani tawaran demi tawaran.

Siapa sangka, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini berjaya menempatkan diri dalam dunia lakonan dan mendapat kepercayaan stesen TV dan syarikat produksi.

Memulakan karier sebagai model iklan komersial sejak empat tahun lalu, Shasha berkata, dia tertarik untuk terjun dalam bidang lakonan selepas aktif bekerja di belakang tabir.

“Selepas tamat persekolahan, saya bekerja di sebuah agensi bakat dan ditempatkan di unit ‘casting’. Bermula dari situ saya diberi peluang menjadi model iklan komersial.

“Kemudian saya menyertai program On Air. Di situ saya belajar banyak perkara termasuk lakonan. Sejak itu juga, saya beranikan diri pergi uji bakat drama.

“Alhamdulillah, setakat ini saya berpeluang berlakon untuk beberapa drama bersiri dan terbaharu saya membintangi drama Anak Sena untuk siaran TV3,” katanya.

Menurut gadis berusia 24 tahun ini, sejak kecil dia sudah menyimpan impian untuk bergelar pelakon, tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan seketika kerana ibu bapanya mahu dia menumpukan perhatian terhadap pelajaran.



“Sejak kecil saya memang nak jadi pelakon. Saya banyak habiskan waktu menonton drama TV selain dapat merasakan lakonan ini adalah jiwa saya.

“Tapi, ketika itu saya tiada kekuatan dan belum ada halu tuju kerana masih kecil. Saya pun masih tak pasti adakah jalan ini yang terbaik memandangkan tiada dalam ahli keluarga yang pernah mencuba nasib dalam dunia glamour ini.

“Jadi, untuk saya meyakinkan keluarga amat sukar. Saya masih ingat ketika berusia 16 tahun saya meminta izin untuk mengikuti satu uji bakat lakonan, tapi ibu bapa melarang kerana minta saya habiskan belajar dahulu.

“Ternyata nak meyakinkan mereka itu tidak mudah. Saya perlu buktikan sesuatu baru mereka akan percaya dengan jalan hidup yang saya pilih ini.

Bertitik tolak dari situ, saya pun kerja belakang tabir untuk belajar selok-belok industri seni,” katanya.

Kejayaan membawakan watak heroin dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta, Projek: Anchor SPM, Kekasih Hati Mr Bodyguard dan drama lain lakonannya sentiasa membuatkan dia ‘lapar’ untuk mencuba pelbagai watak baharu.

“Saya sangat minat dengan apa yang saya ceburi sekarang. Saya tak rasa kerjaya lakonan adalah pilihan yang salah.

“Saya tidak akan berhenti di sini dan tidak pernah menganggap kerjaya ini adalah suka-suka kerana setiap naskhah yang saya bintangi saya belajar perkara baharu.

“Saya dahagakan cabaran baharu dan mahu mencabar kredibiliti lakonan saya. Saya juga ada matlamat untuk tidak hanya selesa sebagai pelakon.

“Kalau diberi peluang nanti, saya nak teroka kerjaya baharu seperti bidang pengarahan atau penulisan skrip. Bagi saya, kalau kita cintakan sesuatu, kita perlu capai matlamat itu sebaik mungkin dan jangan pernah rasa selesa dengan satu kerja saja,” katanya.

Sengaja menebak soalan bagaimana dia menyiapkan diri untuk mendepani kontroversi atau isu panas yang mengaitkan dirinya, Shasha mempunyai jawapan tersendiri.

“Kalau tak bersalah buat apa nak takut. Hadapi isu itu dengan tenang kerana sudah terang-terang kita tidak bersalah. Andai kata kita benar bersalah selesaikan masalah yang timbul dengan baik.

“Bagi saya setiap perkara ada jalan penyelesaian. Kalau terkait kontroversi tidak elok, saya rasa kita mungkin boleh bersemuka dan cari titik noktah untuk setiap masalah,” katanya.

Seronok Jalani Proses Penggambaran Di Pahang

Membintangi drama Anak Sena terbitan Kembara Sufi Production Sdn Bhd, Shasha yang memegang watak sebagai Fatin berkata, dia mengakui seronok sepanjang menjalani proses penggambaran drama terbabit di Pahang.

“Satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan sebab kami menjalani penggambaran di Pahang dan menyelami kehidupan masyarakat Orang Asli di sana.

“Pengalaman berada di perkampungan Orang Asli cukup seronok kerana saya tak dapat dalam kehidupan seharian saya. Bila dapat peluang, saya rasa sedang bekerja sambil bercuti. Ia sangat menakjubkan dan saya berpeluang belajar perkara baharu.

“Saya bersyukur kerana kru produksi drama Anak Sena memberikan sepenuh komitmen termasuk penerbit, Jaja Ishak yang sanggup turun ke lokasi penggambaran untuk bertanyakan mengenai keadaan kami. Malah, pengarah juga banyak membantu kami dalam merealisasikan watak yang dibawakan,” katanya.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker