10 Reformasi Parlimen – Nga Kor Ming

 

Nga Kor Ming akan mencadangkan 10 langkah reformasi atau pembaharuan Parlimen jika dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, minggu depan.

Pengerusi DAP Perak itu yang pernah menyandang jawatan sama ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpendapat, pembaharuan yang dicadangkan itu akan membolehkan Parlimen Malaysia menjadi institusi berkelas dunia.

Menurutnya, perkara yang dicadangkan itu akan membolehkan Parlimen mempunyai kebebasan kewangan, memiliki sistem perkhidmatannya sendiri, melakukan semakan berkala terhadap rang undang-undang, meneliti secara terperinci belanjawan kerajaan, mendepani masalah di kawasan parlimen serta memainkan peranan periksa dan imbang terhadap kerajaan selaras dengan doktrin pemisahan kuasa.

 

 

CADANGAN NGA KOR MING JIKA TERPILIH


“Cadangan reformasi itu antara lain memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah dimansuhkan pada 1992.

“Draf rang undang-undang ini sudah disediakan (ketika PH memerintah) dan sepatutnya boleh dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini, bagi membolehkan pentadbiran dan kewangan Parlimen bebas daripada campur tangan pihak eksekutif (kerajaan yang memerintah),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kor Ming juga mencadangkan penubuhan dua Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Belanjawan terdiri daripada 51 peratus ahli parlimen kerajaan dan 49 peratus ahli parlimen pembangkang, serta Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Rang Undang-Undang Kerajaan, yang juga dianggotai penyokong kerajaan dan pembangkang.

DEWAN KEDUA BINCANG ISU SPESIFIK

Menurutnya, cadangan lain termasuk mewujudkan ‘dewan kedua’ untuk membincangkan isu spesifik atau khusus yang dihadapi setiap kawasan parlimen yang mana menteri berkaitan boleh menjawab dan mengemukakan penyelesaian secara langsung kepada ahli parlimen yang membangkitkan isu itu.

Beliau berkata, Parlimen juga perlu menetapkan bilangan hari minimum dewan bersidang manakala jumlah kehadiran setiap ahli parlimen diumumkan kepada awam agar mereka lebih bertanggungjawab kepada pengundi masing-masing.

Beliau turut mencadangkan jawatan ketua pembangkang berstatus menteri manakala mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam disiarkan secara langsung dalam talian.

“Bagi memastikan keabsahan Perdana Menteri dan tidak dipersoalkan, Parlimen harus meminda Perintah Tetap iaitu mengkehendaki Perdana Menteri baharu untuk menghantar Usul Undi Percaya di Dewan Rakyat dalam tempoh 30 hari selepas mengangkat sumpah jawatan,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan penggubalan undang-undang anti lompat termasuk pilihan raya semula di kawasan yang mana ahli parlimennya menukar parti bagi memastikan mandat rakyat dihormati.

Beliau juga mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan alam sekitar dan kelestarian sebagai agenda penting dalam pembinaan negara.

“Saya akan berusaha memastikan reformasi 10 perkara ini direalisasikan jika diberi mandat oleh ahli parlimen menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat dalam pengundian pada 14 September depan,” jelasnya. – UTUSAN

One thought on “10 Reformasi Parlimen – Nga Kor Ming

Leave a Reply