Datuk Shabudin Kini Pengerusi AIM

 

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan pelantikan Datuk Shabudin Yahaya, 56, sebagai Pengerusi AIM yang baharu menggantikan Datuk Seri Lajim Ukin yang telah meninggal dunia akibat Covid-19 pada Ogos lalu.

Dalam satu kenyataan media, AIM menjelaskan Shahbudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang sejak tahun 2013, pernah dilantik sebagai hakim mahkamah syariah sebelum menjawat jawatan Pengerusi Felcra Berhad.

“Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang.

“Atas kepimpinan dan pengalaman yang dimiliki ini, beliau diyakini dapat menerajui AIM yang kini memiliki seramai 356,024 Sahabat kepada satu tahap yang lebih baik dan cemerlang,” katanya.

Shabudin akan mengambil alih pengurusan AIM yang kini telah mempunyai lebih 370,000 Sahabat di seluruh negara.

AIM sebelum ini ditubuhkan bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan luar bandar dengan menyerahkan hak kredit mikro kepada golongan miskin bagi membiayai apa sahaja usaha untuk meningkatkan pendapatan.

“Bagi pihak AIM, kami mengucapkan selamat datang dan selamat menjalankan tugas kepada Shabudin. Semoga pelantikan ini dapat meningkatkan lagi peranan dan fungsi AIM.

“Terutamanya dalam usaha membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan seterusnya dapat meningkatkan taraf ekonomi isi rumah golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button