Langkah ‘kurung’ rakyat tidak lagi sesuai – Ismail Sabri

 

Langkah ‘mengurung’ rakyat tidak lagi dilihat sesuai ketika ini, malah ia dikhuatiri mendatangkan lebih banyak implikasi termasuk kesihatan mental, demikian kata perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas Ismail Sabri, ia sekali gus memberi keutamaan kepada kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi.

Menurut beliau, pembukaan ekonomi bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi, malah memberi peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (Jempol) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kewajaran pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kala kes harian baharu masih mencatatkan angka yang membimbangkan.

“Kerajaan telah mempertimbangkan pembukaan sektor tertentu sebagai salah satu cara untuk memulihkan kembali ekonomi negara.

“Pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa 1 PPN adalah wajar berikutan peratusan penerima vaksinasi yang tinggi.

“Malah, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Selain itu, sektor-sektor ini dibuka dengan SOP yang ketat termasuk hanya membenarkan pelanggan yang telah divaksinasi lengkap sahaja untuk masuk membuat urus niaga atau mendapatkan perkhidmatan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.

awani

Leave a Reply