Penganalisis nasihatkan PH selesaikan isu kepimpinan

 

Ada perkara lain yang perlu dirisaukan oleh Pakatan Harapan (PH) berbanding memikirkan mengenai logo yang ingin digunakan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata seorang penganalisis.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, gabungan itu perlu memastikan ia mempunyai kepimpinan terbaik untuk berdepan PRU15 dan menyelesaikan isu sama ada Anwar Ibrahim patut terus memimpin PH.

“Ada yang pertikai mengatakan mereka memerlukannya untuk terus memimpin manakala ada segelintir pula menggesa supaya beliau digantikan dengan pemimpin generasi baharu. Jadi, mereka perlu menyelesaikan masalah itu.

 



“Tetapi saya tidak percaya ada masalah dalam kalangan parti komponen. PKR sendiri mempunyai banyak masalah dalaman dan saya rasa anda akan mendapati mereka bertelagah dalam PKR, bukannya dalam kalangan parti komponen,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Oh bersetuju supaya parti komponen PH menggunakan logo parti masing-masing dalam PRU15 kerana ia lebih dikenali berbanding logo rasmi gabungan itu.

Katanya, logo PH agak berbeza jika dibandingkan dengan logo Barisan Nasional (BN) yang telah lama dikenali orang ramai selepas 60 tahun memegang kuasa.

Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) juga menggunakan logo yang bijak dan ringkas dengan perkataan putih “Perikatan Nasional” yang berlatar belakangkan warna biru.

Semalam, PKR Perlis menggesa supaya logo parti itu digunakan dalam pilihan raya berikutnya susulan kejayaan yang dicapai PH dalam pilihan raya pada 2018.

Namun, isu itu menjadi pertikaian bagi parti komponen PH dengan Pemuda DAP menjadi antara pihak yang menolak cadangan terbabit pada Jun lalu.

Ketua Pemuda DAP Howard Lee berkata, logo PH adalah lebih sesuai kerana gabungan itu didaftarkan sebagai satu entiti dan bertanding di bawah parti PKR akan dianggap sebagai pengkhianatan kepada penyokong dan parti komponen.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya turut bersetuju dengan Oh bahawa logo PH tidak dikenali ramai manakala logo PKR membantu gabungan itu mendapatkan kemenangan penting pada 2018.

Katanya, bendera PKR juga lebih baik berbanding DAP kerana ia mempunyai persepsi yang buruk dalam kalangan pengundi Melayu, manakala bendera Amanah pula tidak dikenali dalam kalangan populasi Cina.

“Selain isu logo, faktor lebih penting untuk PH ialah meningkatkan sokongannya antara 15% dan 25% untuk mengambil alih Putrajaya, memastikan ia mewujudkan perpaduan yang lebih baik dan tidak ada pengkhianatan dalam PRU15,” katanya.

fmt

Pakatan Harapan bergelut isu lambang PRU15

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker