Sentuhan kelas dunia Lukaku dirindui Chelsea
Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel berkata kebolehan Romelu Lukaku menjaringkan gol dalam situasi getir adalah sesuatu yang sudah lama ‘dirindui’ The Blues, biarpun kelab itu berjaya meraih gelaran Liga Juara-Juara musim lalu.
Lukaku menyelamatkan prestasi hambar Chelsea apabila meledak gol kemenangan pasukan itu untuk menewaskan Zenit St Petersburg 1-0, di sini, sekali gus bermula dengan langkah kanan dalam misi mempertahankan gelaran juara Eropah.
Penyerang antarabangsa Belgium itu sudah merekodkan empat gol dalam empat perlawanan sejak kembali menyarung jersi Chelsea dengan rekod perpindahan tertinggi kelab bernilai 97 juta pound (RM557 juta), bulan lalu.
Ketajaman sentuhan penyudahnya sekali lagi terbukti menerusi jaringan pada minit ke-69 bagi memastikan tiga mata buat skuad bimbingan Tuchel.
“Dia (Lukaku) adalah pemain yang kami perlukan. Ia sangat penting, sukar untuk anda temui penyerang yang memiliki kualiti seperti itu.
“Pemain yang mampu menjaringkan gol secara konsisten untuk pasukannya adalah penting kerana satu gol mampu mengubah seluruh momentum perlawanan.
“Lukaku beraksi dalam keadaan sukar. Kami tidak mencipta banyak peluang untuk dia, tetapi dia tidak berputus asa dan hilang keyakinan. Sebab itu, dia berada di sini dan mengapa dia adalah penyerang bertaraf dunia,” kata Tuchel.
Tuchel menggesa barisan pemainnya agar tidak dibuai mimpi susulan kejayaan mereka mencipta kejutan muncul juara Eropah musim lalu.
Kemenangan mereka ke atas Manchester City di Porto masih membayangi pasukan itu selepas Eduard Mendy dan Jorginho masing-masing menerima anugerah sebelum sepak mula perlawanan sebagai jurulatih, penjaga gol dan pemain terbaik tahunan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Bagaimanapun, Chelsea dilihat tidak seperti pasukan terbaik Eropah apabila berdepan kesukaran untuk mencipta peluang bagi menjaringkan gol menentang juara Liga Russia itu.
“Ada banyak faktor mengapa kami mungkin tidak berada pada tahap prestasi terbaik ketika ini,” tambah Tuchel yang memberitahu satu daripadanya disebabkan kekurangan aksi pra musim buat barisan pemain bintangnya yang terbabit dengan saingan Euro 2020 dan Copa America.
“Saya gembira dengan cara kami bermain kerana saya lihat kami sangat kompetitif dan tahu bagaimana untuk mengatasi tekanan ketika perlawanan.” – AFP