Tanam ganja di kondo, suami isteri ditahan PDRM

 

Sepasang suami isteri ditahan polis selepas mereka dikesan menanam pokok ganja dalam kondominium didiami dekat Ayer Itam di sini, semalam.

Kegiatan menanam tumbuhan itu dibuat dengan menggunakan benih yang diperoleh daripada ganja yang sebelum ini dibeli mereka.

Kegiatan pasangan itu dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut selepas melakukan serbuan pada jam 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong, berkata terdahulu polis menahan suspek lelaki berusia 38 tahun itu di perkarangan rumahnya sebelum pemeriksaan menemukan tiga paket plastik lutsinar berisi dadah iaitu dua jenis syabu dan satu ganja.

Katanya, siasatan terhadap suspek itu kemudian membawa polis ke kediaman sewanya di kondominium berkenaan sebelum polis menemui 13 paket ganja dan peralatan menghisap dadah di ruang tamu kediaman itu.

“Menerusi pemeriksaan lanjut telah menemukan dua pokok ganja belum matang yang ditanam dalam pasu plastik di bahagian balkoni kondominium itu.

“Turut ditahan ialah isteri suspek berusia 36 tahun yang juga kerani stesen minyak tempat suaminya bekerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Turut dirampas ketika serbuan ialah baja yang dipercayai bagi kegunaan penanaman pokok ganja itu, kenderaan jenis Proton Exora serta wang tunai.

Soffian berkata, pokok ganja yang dianggarkan bernilai RM1,180 itu masing-masing berukuran 19 dan 40 sentimeter tinggi.

Katanya, suspek mengaku sekadar mahu mencuba menanam pokok itu selepas mendapati ada biji benihnya di dalam paket ganja kering yang dibeli sebelum ini.

Suspek juga turut mengaku tanam pokok serta dadah yang dirampas dalam milikan dan kediaman itu bagi kegunaannya sendiri.

“Namun kita akan menjalankan siasatan sama ada suspek terbabit dalam pengedaran atau sebaliknya memandangkan jumlah dadah yang dirampas agak banyak.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan kedua-duanya kini direman sehingga 19 September bagi siastatan lanjut,” katanya lagi.

Keseluruhan nilai rampasan dadah dan aset berjumlah RM35,591 manakala kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 397 penagih dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan rotan tidak kurang enam kali; Seksyen 39A(2) dan 39(1) akta yang sama.

bh

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker