Proses pemberian vaksin kini diperluas meliputi remaja

SYAHIDI BAKAR

 

BERDASARKAN statistik, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah mencapai 75.4 peratus untuk populasi dewasa di negara ini atau 39,234,306 dos vaksin sudah diberikan termasuk vaksinasi tunggal dua dos.

Sehubungan itu, proses pemberian vaksin kini diperluas meliputi golongan remaja di bawah umur 17 tahun sebagai salah satu pendekatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguatkan imunisasi golongan rakyat terbanyak.

KKM menerusi akaun Facebooknya berkongsi 7 info penting penambahbaikan perkhidmatan vaksinasi untuk remaja 12 hingga 17 tahun termasuk 3 kaedah pelaksaaannya, iaitu:

– Menubuhkan Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A).
-Pendaftaran melalui institusi-institusi pendidikan boleh dibuat di Portal Vaksin-Anak-Ku.
-Ibu bapa dan penjaga digalakkan mendaftar anak atau tanggungan melalui MySejahtera.
-Vaksin jenis Pfizer akan diberikan sebanyak dua dos

Sementara itu, kaedah pertama pemberian vaksin ialah secara jangkauan luar ke sekolah atau institusi pendidikan dibuat secara berjadual terutama melibatkan remaja yang bakal menduduki peperiksaan utama dan bersekolah di asrama penuh atau harian.

Kelompok remaja terbabit akan diberi janji temu dos pertama melalui klinik swasta atau sekolah yang berhampiran tempat tinggal. Manakala bagi dos kedua pula, diberikan di sekolah atau lokasi sama ketika dos pertama diterima.

Kaedah kedua khusus bagi remaja dengan komplikasi komorbid (menghidap dua atau lebih penyakit secara serentak) suntikan vaksin imunisasi Covid-19 akan diberi di hospital atau klinik kesihatan.

Kaedah ketiga pemberian vaksin untuk remaja yang tidak dapat hadir bersama ibu – bapa atau penjaga, mereka akan diberikan janji temu menerusi MySejahtera untuk ke kllinik swasta yang berhampiran.

Melalui pelbagai mekanisme penambaikan dan kemudahan disediakan, adalah diharap ibu bapa dan keluarga mengambil tindakan sewajarnya untuk mendaftarkan golongan sasaran untuk suntikan imunisasi ini.

Dalam pada itu, KKM melalui CITF-A mensasarkan sebanyak 60 peratus remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang November seterusnya 80 peratus penerima dos lengkap sebelum sesi persekolahan 2022 dibuka.

CITF-A pasukan hasil gabungan pelbagai agensi berkepentingan diterajui KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan, ProtechHealth, JAKIM, JKM, Bahagian Pendidikan Mara, Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia, AADK, Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen.

Selain itu, turut dimaklumkan oleh CITF-A bahawa vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Bio-NTech dan telah mendapat kelulusan berstatus pendaftaran bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Leave a Reply