Juara tinju Filipina tanding jawatan Presiden

 

Juara dunia tinju Filipina, Manny Pacquiao mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Presiden negara itu dalam pilihan raya yang bakal diadakan tahun depan.

BBC News melaporkan, Pacquiao yang juga senator di Filipina, dicalonkan serpihan parti pemerintah PDP-Laban.

Parti itu pernah mencalonkan Rodrigo Duterte untuk jawatan Presiden Filipina.

Duterte bagaimanapun dihalang bertanding dalam pilihan raya kali ini kerana perlembagaan Filipina menetapkan Presiden boleh memegang tampuk pemerintahan untuk satu penggal saja.

“Saya seorang pejuang dan akan terus berjuang walaupun berada di luar gelanggang,” kata Pacquiao.

Sehingga kini, belum ada pengesahan sama ada Suruhanjaya Pilihan raya Filipina akan meluluskan pencalonan itu untuk pilihan raya 2022.

Pacquiao dikatakan akan bersaing dengan Christopher ‘Bong’ Go untuk jawatan itu.

Menurut rekod, Pacquiao pernah menjadi juara dunia dalam lapan kategori sukan tinju selain memikul tugas sebagai senator di Filipina.

Beliau yang digelar Pac-Man sebelum ini dilaporkan menjadi penyokong kuat Duterte sebelum tercetusnya ketegangan antara mereka sejak Jun lalu .

Ia gara-gara kritikan lantang Pacquiao terhadap polisi Duterte mengenai China dan kegiatan rasuah.

metro

Leave a Reply