Platform bantu wanita PCOS

Menyedari ramai wanita menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) yang memerlukan pelbagai bantuan dan sokongan, sebuah platform khas disediakan untuk membantu menyelesaikan masalah kesihatan mereka.

PCOS adalah penyakit berkaitan gangguan metabolik, endokrin dan reproduktif yang mempengaruhi tahap hormon wanita.

Justeru, platform digital dikenali sebagai MyPCOS I Love You menyediakan pelbagai maklumat berkaitan penyakit itu, selain mendapat nasihat pakar berkaitan.

Menariknya, platform itu turut disediakan dalam bahasa Melayu, sekali gus memudahkan penghidap PCOS memahami dengan lebih tepat mengenai penyakit dihidapi.

 

PCOS

Pengasas dan Presiden My PCOS I Love You, Deena Katrina Marzuki, berkata platform itu dilancarkan pada 1 September lalu sempena bulan kesedaran PCOS.

Katanya, tujuan utama platform itu diwujudkan bagi memberikan lebih banyak maklumat terutama kepada wanita yang menghidap PCOS, menyediakan pelbagai program dan aktiviti bulanan dengan pakar, bengkel serta webinar.

“Sebagai penghidap PCOS sejak 15 tahun lalu, saya mendapati bukan sahaja maklumat mengenai PCOS di internet terutama dalam bahasa Melayu amat kurang, tetapi juga tiada kumpulan sokongan kepada penghidap.

“Justeru, dengan adanya platform ini, penghidap bukan sahaja mendapat maklumat diperlukan, malah turut mempunyai kumpulan sokongan yang dapat membantu kesihatan fizikal dan mental dalam menghadapi penyakit berkenaan,” katanya.

Deena Katrina berkata, platform disediakan bersama dua lagi temannya yang juga penghidap PCOS, iaitu Ili Sulaiman yang bertindak sebagai duta dan Stephanie Yang sebagai penasihat, turut aktif di media sosial berkongsi maklumat diperlukan.



Katanya, menerusi laman sosial Instagram MyPCOS I Love You, setiap minggu akan diadakan siaran langsung berkenaan pelbagai topik menarik oleh pakar kesihatan atau ‘influencer’.

“Menerusi siaran langsung itu, orang ramai boleh juga bertanya terus mengenai setiap persoalan bagi mendapatkan jawapan diperlukan.

“Cara ini memudahkan wanita terutama penghidap mempunyai persoalan, mendapat dengan segera jawapan yang sangat diperlukan berbanding perlu menunggu lama untuk mendapatkan jawapan daripada doktor,” katanya.

Menerusi Facebook pula katanya, mereka menubuhkan satu kumpulan sokongan khas kepada penghidap PCOS untuk berkongsi perasaan, pengalaman, perjalanan hidup dan macam-macam lagi.

Katanya, kumpulan sokongan itu dilihat agak berkesan dalam membantu kesihatan mental penghidap PCOS kerana memberi ruang kepada mereka meluahkan masalah.

“Sebagai penghidap PCOS walaupun cerita dan perjalanan hidup tidak sama, tetapi kami berkongsi perasaan yang sama sebagai penghidap.

“Tidak semua orang di sekeliling kami memahami penyakit yang dihadapi ini, justeru dengan adanya kumpulan sokongan ini ia sangat membantu kesihatan mental dan fizikal penghidap,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai lagi wanita terutama penghidap PCOS, tampil mengikut semua platform disediakan.

Katanya, ketika ini masih ramai penghidap tidak tahu bagaimana berdepan dengan penyakit yang turut bermain dengan emosi dan mental.

“Dengan adanya platform ini, saya berharap lebih ramai wanita terutama penghidap PCOS untuk sertai bagi mendapatkan pelbagai maklumat penting dan menyertai program yang disediakan.

Deena Katrina berkata, ketika ini menerusi platform website disediakan, turut ditayangkan adalah satu episod bagi setiap 10 hari mengenai kisah 16 wanita di seluruh negara terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berkongsi pengalaman berkenaan PCOS.

Katanya, semua mereka berbesar hati menceritakan cabaran, kesukaran dan kemenangan yang berjaya dilalui sehingga menjadikan mereka wanita lebih kuat dan tabah ketika ini.

Mengikut kajian satu dalam 10 wanita menghidap keabnormalan PCOS, iaitu 10 hingga 15 peratus wanita di peringkat umur reproduktif didiagnos dengan PCOS dan 50 peratus wanita mengalami PCOS tanpa diagnosis formal.

PCOS membabitkan keadaan fizikal ovari yang mengandungi butiran seperti rantai mutiara, iaitu folikel bersaiz di antara dua hingga 9 milimeter (mm).

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker