Kembar tiga dapat vaksin sempena Hari Lahir

Tiga remaja kembar ceria menerima vaksin hari ini, sehari sebelum menyambut ulang tahun kelahiran ke-17 esok, di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.

Muhammad Nur Najwan Ya’kub, Muhammad Nur Nuk’man dan Muhammad Nur Najman berkongsi kegembiraan itu bersama-sama 383 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin (SMKSA), di sini yang turut menerima suntikan berkenaan, mulai 9 pagi ini.

Muhammad Nur Najwan berkata, dia tidak sabar menunggu untuk menerima vaksin sebagai ikhtiar untuk mengelak daripada diserang pandemik COVID-19.

“Beberapa rakan saya yang pernah dijangkiti COVID-19 menceritakan betapa sengsara untuk menarik nafas dan saya bernasib baik kerana setakat ini tidak dijangkiti wabak berbahaya itu,” katanya.

Muhammad Nur Najwan dilahirkan Noor Azlina Mohamad, 54, pada 10.16 pagi 24 September 2004 di Hospital Melaka dan diikuti selang dua minit kemudian oleh Muhammad Nur Nuk’man dan Muhammad Nur Najman.

Muhammad Nur Nuk’man berkata, dia bersyukur menerima vaksin selepas ‘cemburu’ melihat rakannya dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah, Kuala Sungai Baru menerima vaksin, semalam.

“Vaksin amat penting untuk membolehkan kami hadir di sekolah untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka bulan depan sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Walaupun vaksin bukanlah jaminan 100 peratus kita tidak dijangkiti COVID-19, sekurang-kurangnya ia membolehkan antibodi kita untuk menentang virus berbahaya itu,” katanya.

Muhammad Nur Najman pula berkata, sekurang-kurangnya dia sudah ada sistem pertahanan dalam badan untuk melawan virus berbahaya COVID-19.

Kembar tiga

Bapa mereka, Ya’kub Abdul Ghani, 54, berkata dia bersyukur ketiga-tiga anak kembarnya sudah menerima vaksin dan berdoa agar keluarganya dijauhkan daripada COVID-19.

Sementara itu, Timbalan Ketua (Pembangunan Murid) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Jamaludin Ahmad, berkata pelajar dan ibu bapa yang hadir di kompleks sukan itu diberikan

roti dan air galian sumbangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah.

Beliau berkata, pejabat itu menyumbangkan 1,000 roti dan 1,000 botol air galian untuk semua pihak yang terbabit dalam program pemberian vaksin, hari ini.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker