‘Skandal’ SPRM, Azam Baki wajar direhatkan

Anwar Ibrahim

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direhatkan sementara waktu dari tugas-tugasnya supaya siasatan penuh dapat dilakukan.

Demikian tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan, berhubung penahanan reman tiga pegawai kanan SPRM atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Pakatan Harapan menyambut baik kenyataan yang dibuat Menteri Dalam Negeri di dalam Dewan Rakyat semalam bahawa satu kertas inkuiri Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuka terhadap isu ini,” kata mereka.

Ujar mereka, isu tersebut telah mewujudkan satu persepsi buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat mempertikai integriti institusi tersebut.

Justeru, mereka berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka serta siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh.

“Mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan,” tegas mereka.

Pada masa yang sama, menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH turut mencadangkan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu-isu berkaitan SPRM.

“Pakatan Harapan turut berpandangan bahawa Kerajaan wajar mempertimbang menasihatkan KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu-isu berhubung SPRM, serta mencadangkan langkah-langkah mereformasi institusi penting ini.”

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa satu kertas inkuiri Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuka berhubung tiga pegawai kanan SPRM atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan suruhanjaya itu.

awani

Skandal SPRM, Fahmi Fadzil mahu bahas di Parlimen

Leave a Reply