Suffian Suhaimi tak reti mengorat anak dara

 

Diasak persoalan jodoh, penyanyi Di Matamu, Sufian Suhaimi, 29, tidak pernah melatah, malah, sudah lali mendengarnya sejak ikatan pertunangan dengan pelakon Elfira Loy terlerai pada 2018.

Tiga tahun berlalu, nyata Sufian masih sendiri, namun tidak mampu mengetepikan keinginan mahu mendirikan rumah tangga apabila melihat ramai rakan memilih menamatkan zaman bujang dalam era pandemik COVID-19.

Anak kelahiran Mersing, Johor itu juga tidak menolak sekiranya jodoh datang dalam masa yang terdekat. Malah, sentiasa mendambakan kehadiran seorang wanita bagi mengisi ‘lohong’ kekosongan hati.

Penyanyi yang membolosi pencalonan awal menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu berkata, sebagai lelaki, fitrah mahu berkahwin semestinya ada, apatah lagi, melihat ramai rakan sudah bahagia melayari kehidupan berkeluarga.

 



“Jujurnya, saya bukanlah terburu-buru atau mahu menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat ini. Cuma, timbul keinginan berkahwin apabila seronok melihat rakan bersama pasangan pada era pandemik.

“Bukan saya sahaja tertekan diasak persoalan jodoh. Jika tanya Remy Ishak sebelum ini, saya percaya dia pun begitu. Saya faham, apa lagi seorang lelaki perlukan selain kerjaya dan keluarga, tentulah pasangan hidup.

“Jadi, persoalan jodoh ini akan terus menghambat saya selagi belum berkahwin. Saya tidak pernah tertekan, jauh sekali nak melatah, ia sesuatu yang normal.

“Tanyalah seribu kali sekali pun, jawapan tetap saya selagi saya belum bertemu gadis pujaan hati,” katanya.

Diasak mustahil hingga saat ini belum menemui gadis berkenan di hati, Sufian berkata, jujurnya, memang tiada.

“Mungkin orang luar anggap golongan selebriti mudah mencari jodoh sebab ramai peminat. Namun, realitinya, ia tidak semudah yang disangka.

“Jika melihat mesej langsung yang diterima dalam Instagram, bukan setiap hari ada gadis menghantar mesej ajak berkahwin. Jika ada pun hanya mesej rakan-rakan atau pun pemilik akaun palsu. Jadi, memang tiada calon pilihan buat masa ini,” katanya.

Sufian berkata, dia bukannya mahir dalam soal berkomunikasi.

“Jika bertemu seseorang, saya tidak mahir ‘mengorat’ dan bersikap mesra. Ada kala saya banyak mendiamkan diri.

“Jadi, saya mencari pasangan yang boleh melengkapkan saya. Terutama, gadis yang pandai berkomunikasi. Selain itu, saya mahukan seseorang yang boleh berdikari dan matang,” katanya.

Akuinya, pada awal 20-an, dia membayangkan akan bertemu jodoh pada usia 30 tahun. Mungkin sudah memiliki satu atau dua cahaya mata.

“Apabila menjengah usia 29 tahun, namun belum bertemu jodoh, saya serahkan sahaja pada ketentuan Allah. Saya tidak perlu terburu-buru, namun sentiasa terbuka menanti jodoh.

“Jika bertemu seseorang yang serasi dan paling penting, ibu bapa saya suka, insya-Allah saya tidak melambatkan menetapkan soal perkahwinan,” katanya.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker