Jambatan ketiga P.Pinang, tiada permohonan lagi

 

Kementerian Kerja Raya (KKR) belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan Pulau Pinang berhubung cadangan projek pembinaan jambatan ketiga di negeri itu buat masa ini.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu bagi melihat keperluan projek dibangunkan termasuk dari segi kesan sosial dan ekonomi sekiranya projek itu dilaksanakan.

“Setakat ini, kita (kerajaan Persekutuan) tidak terima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri (Pulau Pinang), jadi tak boleh komen lebih daripada itu.

“Secara umum, kriteria yang akan dilihat dan diatur pihak kita khusus dari sudut teknikal, kebolehlaksanaan dari sudut teknikal yang tidak akan beri kesan kepada sosial dan alam sekitar,” kata beliau kepada pemberita pada Selasa.

Fadillah sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Seberang Perai Selatan dan perasmian projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Kerian di sini hari ini.

Menurut Fadillah, sebelum melaksanakan sebarang projek yang dirancang, setiap kerajaan perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan KKR selain melakukan pelbagai kajian.

“Pertama sekali mesti ada kajian dibuat (dan ) dari segi keperluan, adakah projek ini diperlukan atau tidak?

Kalau projek ini diperlukan yang kedua perlu dikaji dari segi impak sosial, kesan kepada sosioekonomi dan ketiga dari segi alam sekitar dan keseluruhan ini dikaji kita kena lihat kos keberkesanannya… kesemua kena kaji,” kata Fadillah lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan kemungkinan kerajaan Pulau Pinang membina jambatan ketiga bagi menghubungkan antara bahagian pulau ke tanah besar bagi menggantikan projek terowong dasar laut.

Bagaimanapun, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk jambatan.

Kon Yeow berkata, sebarang pertimbangan hanya akan dilakukan setelah kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri.

awani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker