Pendatang tanpa izin ditemui terikat di pokok
Dua pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar ditemukan terikat pada pokok di hutan di Kampung Rahmat, di sini, kelmarin.
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, anggota bertugas sedang membuat rondaan sebelum menemui dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun, yang diikat pada pokok dalam keadaan gelap gelita.
Katanya, anggota kemudian mendekati dua lelaki berkenaan dan membebaskan mereka sebelum meminta kedua-duanya mengemukakan dokumen pengenalan diri bagi tujuan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah, manakala hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan tidak menemui sebarang barangan yang salah.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, Pati ini memaklumkan bahawa kesemua barangan milik mereka berada dengan seorang lelaki yang tidak pasti akan butirannya, disyaki individu yang terbabit dengan sindiket penyeludupan Pati.
“Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Lubok Stol, bagi siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Azhari berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.
“Kedua-dua suspek dipercayai ditipu oleh sindiket yang berjanji untuk membawa mereka pulang ke Myanmar melalui Thailand selepas bekerja di Kelantan dalam tempoh tertentu.
“Pihak kami juga tidak dapat mengenal pasti individu sebenar yang mengikat mereka pada pokok susulan masalah komunikasi memandangkan mereka tidak dapat berbahasa Melayu.
“Selain itu, PGA7 turut menerima laporan daripada penduduk kampung mengenai pergerakan warga asing yang sering berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pangkalan haram yang menjadi tumpuan sindiket untuk penyeludupan Pati, justeru kawalan akan terus diperketatkan bagi menangani masalah itu.
metro