Bekalan ikan perlu dipertingkat sebelum tengkujuh

 

Tidak cukup kemahiran dan tiada ketahanan tinggi merupakan antara faktor utama yang menyebabkan negara kekurangan nelayan sehingga perlukan khidmat pekerja asing dalam memulihkan bekalan makanan laut terutamanya ikan di Malaysia sebelum musim tengkujuh melanda.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Hamid Bahari berkata, Industri perikanan negara masih bergantung kepada nelayan asing yang sebelum ini hampir 35,000 nelayan yang bekerja di sektor perikanan, namun sejak pandemik, mereka tidak dapat masuk ke negara disebabkan kawalan ketat dikenakan kepada mereka.



“Kita mengharapkan kerajaan untuk memberi kelonggaran disebabkan pengusaha bot ketika ini tidak dapat meneruskan kegiatan seperti dahulu akibat peruntukan seorang pekerja asing untuk masuk bekerja antara RM15, 000 hingga RM13, 000 setiap seorang.

“Pihak kami mendapat rintihan pengusaha bot yang tidak dapat beroperasi hampir setahun lebih akibat nelayan perlu menjalani prosedur rumit. Kerajaan diharapkan beri kelonggaran secepat mungkin supaya sektor perikanan negara kembali rancak,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai peralihan monsun barat daya kepada timur laut yang akan menyebabkan beberapa negeri di pantai barat dan pendalaman Semenanjung berisiko dilanda rebut petir, hujan lebat dan laut bergelora.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan terlibat seperti Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya dinasihatkan untuk menyemak ramalan Meteorologi sebelum melakukan aktiviti atau berhasrat untuk turun ke laut.

Mengulas mengenai keadaan cuaca akibat peralihan monsun, Hamid berkata, masyarakat nelayan yang akan ke laut disarankan untuk memastikan kelengkapan yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mencukupi serta mengikuti perkembangan Meteorologi dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Tambah beliau, kebergantungan stok ikan negara ketika ini terhadap negara luar adalah tinggi sehingga berbilion ringgit terpaksa dikeluarkan dalam menampung bekalan ikan negara walaupun kita sedia maklum bahawa perairan Malaysia masih mempunyai banyak spesis ikan

Ujarnya, negara kita perlu mempunyai stok penimbal ikan yang banyak dalam menampung bekalan sebelum menghadapi musim tengkujuh ini.

Katanya, sejak pandemik Covid-19, stok ikan di Malaysia berkurangan, namun pihaknya termasuk agensi swasta masih membuat penyimpanan stok supaya bekalan masih mencukupi.

“Kekurangan tenaga mahir dalam kalangan nelayan di Malaysia turut membataskan perkembangan sektor perikanan yang dahulu rata-ratanya dimonopoli pekerja asing.

“Hal ini disebabkan ketahanan nelayan tempatan di laut tidak setanding pekerja asing seperti Thailand dan Indonesia yang mempunyai ketahanan berada di laut selama seminggu berbanding nelayan tempatan yang hanya mampu bertahan selama tiga hari.

“Kita berharap pihak kerajaan membuat latihan dan ganjaran lebih baik kepada pekerja sektor perikanan dalam meningkatkan kemahiran nelayan Malaysia serta memberikan peluang kepada mereka dalam menceburi bidang ini,” katanya.

UTUSAN ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker