Manchester tewaskan Villarreal 2-1

 

Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United kendaliannya bernasib baik selepas Cristiano Ronaldo mencatat rekod penampilan ke-178 Liga Juara-Juara Eropah dengan gol kemenangan minit ke-95 ketika menewaskan Villarreal 2-1 di Old Trafford.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu tidak banyak melakukan percubaan sehingga dia menewaskan Geronimo Rulli untuk gol kelimanya dalam lima perlawanan bersama United musim ini.

Anak buah Solskjaer berisiko tersingkir di peringkat kumpulan sekali lagi apabila ketinggalan hasil jaringan Paco Alcacer di awal permainan.



Alex Telles bagaimanapun memberi harapan buat United dengan gol penyamaan sebelum jaringan masa kecederaan Ronaldo memastikan peluang dalam Kumpulan F masih terbuka buat mereka.

“Itu apa yang terjadi di Old Trafford, kami berusaha keras dan akhirnya bernasib baik. Apabila anda mempunyai Cristiano Ronaldo di atas padang, peluang sentiasa ada,” kata Solskjaer.

Gol Ronaldo itu mengatasi jaringan terkenal Solskjaer ketika memenangi Liga Juara-Juara 1999 untuk gol kemenangan paling lewat dalam kejohanan.



Villarreal yang menguasai permainan sebelum itu jelas kecewa dan hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila terlepas tiga mata.

“Kami kecewa. Perlawanan sepatutnya milik kami, kami hanya perlu mempertahankannya tetapi tidak melakukannya. Kami cemerlang sebelum itu. Mendahului permainan, mencipta peluang dan lebih baik berbanding Manchester United di Old Trafford,” kata pertahanan Villarreal Pau Torres. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker