Lebur RM120,000 kena tipu sindiket pelaburan emas

Tiga individu kerugian RM120,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan emas dalam talian.

Pelaburan tersebut dikatakan boleh menawarkan pulangan antara tiga hingga 11 peratus dalam tempoh tiga hari.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata mangsa yang berusia 25 hingga 50 tahun.

Mereka terpedaya dengan janji manis sindiket pelaburan berkenaan yang turut menawarkan pakej murah serendah RM300.

Beliau berkata, skim pelaburan emas dikenali sebagai Gold Hub International.com itu dikatakan mampu memberi keuntungan lumayan segera kepada pelabur.

“Mangsa yang dipercayai tertarik dengan pakej murah dan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, melakukan beberapa transaksi ke akaun sindiket berkenaan membabitkan kerugian kira-kira RM120,000.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa terpengaruh dengan skim itu menerusi hebahan daripada kenalan dan hebahan di laman web tertentu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, setakat ini tiga mangsa tampil membuat laporan berkaitan kes penipuan skim pelaburan emas berkenaan kelmarin, selepas menyedari mereka diperdaya.

Beliau berkata, pihaknya percaya masih ramai mangsa terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian itu.

“Kami masih melakukan siasatan lanjut terhadap skim pelaburan terbabit dan percaya masih ramai mangsa terpedaya dan belum membuat laporan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kami menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang skim pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi serta tidak munasabah.

“Bagi mengelak terpedaya dengan skim seumpama ini, orang ramai boleh membuat semakan menerusi laman web rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum mengambil keputusan melabur dengan mana-mana syarikat mahupun individu,” katanya.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker