Ragam datuk dan nenek muda

 

Jenni Medlam, 34, dan suami Richard, 35, tidak menyangka walaupun masih muda, mereka sudah bergelar nenek dan datuk.

Ini kerana anak perempuan mereka, Charmaine yang berusia 16 tahun selamat melahirkan bayi perempuan, Isla-May, Jun lalu.

Jenni yang sebelum ini mengandungkan Charmaine pada usia 17 tahun, nekad menyokong kehamilan anaknya itu.

Portal Mirror melaporkan, namun, nenek muda itu mengakui ramai beranggapan Isla-May adalah anak mereka, apabila dia dan suami membawa cucunya itu berjalan-jalan.

“Ketika kami keluar bersama-sama dengan Isla, semua orang menganggap dia adalah anak saya dan Richard.


“Apabila kami menjelaskan kepada mereka bahawa kami sebenarnya datuk dan nenek, mereka terkejut.

“Kebanyakan daripada mereka tidak mempercayainya. Tetapi saya faham mengapa orang menganggap kami ibu bapa (Isla-May) kerana usia kami masih awal 30-an,” katanya.

Ketika Charmaine pertama kali memberitahu ibu bapanya dia hamil, Jenni yang berusia 33 tahun ketika Isla-May dilahirkan, mengakui dia ‘benar-benar terkejut’.

Namun, selepas itu, mereka dapat menerimanya.

“Menjadi datuk dan nenek muda bermaksud anda mempunyai lebih banyak masa untuk menyayangi cucu anda dan mempunyai masa lebih lama untuk menghargainya,” katanya.

Jenni tidak mahu anak perempuannya mempunyai pengalaman yang sama seperti dia dan berjanji akan menyokong Charmaine.

“Saya tahu bagaimana perasaan Charmaine apabila dia hamil.

“Tetapi saya memberitahunya itu keputusannya dan saya akan menyokongnya. Sejak hamil, Charmaine berubah menjadi dewasa.

“Dia adalah ibu yang luar biasa dan saya fikir ia menjadikan ikatan antara Charmaine dan saya lebih kuat. Saya rasa dia lebih menghormati saya sekarang sebagai ibunya,” katanya.

Charmaine bersama pasangannya yang juga bapa bayi itu, tinggal bersama Jeni dan Richard.

Agensi

Leave a Reply