Projek pasir – Idris & Nor Azman sedia jumpa SPRM

Idris Haron & Nor Azman

 

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, bersedia bertemu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir laut.

Idris berkata, beliau tiada masalah untuk berbuat demikian kerana mendakwa mempunyai bukti bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan.

“Saya bersedia pada bila-bila masa, tengah malam pun saya boleh jumpa pegawai SPRM kalau mereka ingin berjumpa saya di Melaka.

“Jangan ingat saya cakap suka-suka atau cakap kosong saja fasal korek pasir laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau dan Idris bertindak menarik balik sokongan kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali Isnin lalu kerana tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan royalti pasir.

“Kami buat ini bukan kerana tidak dapat projek korek pasir atau seumpamanya, kami tidak ada kepentingan peribadi.

“Sebaliknya kami tidak sanggup melihat perkara itu berleluasa hingga mengancam masa depan anak cucu kita,” katanya.

Beliau mendakwa, ada pihak tertentu memusnahkan fail berkaitan projek mengorek pasir bagi mengelak penyelewengan dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, beliau yakin masih ada bukti yang boleh diperoleh pegawai SPRM jika melakukan siasatan menyeluruh berkaitan dakwaan itu.

Metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button