Kisah Seram : Bahagian 1 – Hijab

Oleh – Syeikh Baran


Kisah Seram : Hijab
FOTO HIASAN

Baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang rakan. Namanya Kak N. Kak N tinggal di sebuah kampung di Kajang, Selangor.

Nama anak bongsu Kak N ialah Arief. Sewaktu lahirnya, tidak ada apa-apa peristiwa pelik yang berlaku. Arief membesar sebagai seorang bayi yang sangat comel, bijak dan petah berkata-kata.

Kak N memanggil Arief dengan nama panggilan ‘Adik’. Almaklum Arief ialah anak bongsu di dalam keluarga. Sudah tentu manja dan rapat dengan Kak N dan sering mengikut Kak N walau ke mana sahaja.

Sewaktu Arief berumur 3 tahun, barulah Kak N sekeluarga menyedari, Arief mempunya satu kebolehan istimewa iaitu hijab yang terbuka hingga boleh melihat benda atau perkara yang tidak dapat dilihat oleh orang biasa.

Suatu hari, jiran sebelah rumah Kak N yang merupakan kakak kandung Kak N, meninggal dunia. Kakak Kak N yang dipanggil Kak Jah (bukan nama sebenar) itu memang rapat dengan Kak N. Kak Jah lah tempat Kak N mengadu saat susah dan senang.

Kak N sangat sedih kerana kehilangan kakak tersayang merangkap sahabat baiknya. Namun sebagai adik yang paling rapat, sudah tentu Kak N antara yang paling sibuk menguruskan soal pengurusan arwah. Kak N antara yang terawal menolong mengemas rumah arwah Kak Jah sebelum ketibaan orang-orang kampung dan saudara mara.

Menyediakan tempat untuk meletakkan arwah Kak Jah sebelum dimandikan. Dan membantu keluarga arwah Kak Jah menguruskan kehadiran saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai yang datang menziarah.

Setelah urusan mandi, mengkafan dan solat jenazah selesai, Kak N turut serta menghantar jenazah kakaknya itu sehingga ke kubur untuk pengebumian. Kubur dan rumah tidaklah jauh. Cuma beberapa ratus meter dari rumah.

Arief turut mengikut Kak N ke kubur. Selepas majlis pengebumian arwah kakaknya selesai, Arief yang ketika itu berumur 3 tahun menarik-narik tangan Kak N dan menunjuk ke satu arah. Ke atas kubur arwah Kak Jah.

“Kenapa dik?” tanya Kak N.

“Acik Jah lambai-lambai adik. Acik Jah senyum,” kata Arif petah walaupun sedikit pelat.

Kak N mengabaikan kata-kata Arief dan segera mendukung Arief untuk keluar dari kawasan perkuburan. Dada Kak N masih sebak dan sedih dengan pemergian Kak Jah. Air mata Kak N basah di pipi. Kak N sudah hilang seorang kakak dan kawan baik.

Malam itu Kak N sibuk membantu keluarga arwah Kak Jah di majlis Tahlil, Yassin dan bacaan doa untuk arwah Kak Jah. Arief tetap setia berada di sisi Kak N. Leka bermain sendiri tanpa mengganggu Kak N.

Setelah tetamu balik, Kak N berehat sekejap di tepi pintu berbual-bual bersama keluarga dan saudara mara yang lain. Sekali lagi Arief menarik tangan Kak N.

“Kenapa dik? Adik nak minum?” tanya Kak N.

Arief menggeleng kepala. Jarinya menuding ke arah luar pintu.

“Cik Jah datang. Dia senyum tengok adik,” kata Arief.

“Ish, kenapa cakap macam tu dik? Cik Jah kan dah meninggal,” kata Kak N separuh berbisik.

Kak N bimbang juga kata-kata Arief akan didengar oleh kaum keluarga dan saudara-mara. Bimbang disalah anggap.

Dalam masa yang sama, bulu roma Kak N turut meremang. Kak N tahu Arief nampak sesuatu. Tetapi Kak N tidak memberitahu sesiapa. Arief juga diam selepas dimarahi oleh Kak N.

Keesokan harinya, Kak N turun padang lagi membantu majlis Tahlil dan Yassin di rumah kakaknya itu. Sudah menjadi kelaziman di kampung Kak N di ketika itu, jika ada sesiapa yang meninggal dunia, jiran tetangga akan dijemput untuk hadir selama 3, 5 atau 7 hari ke majlis Tahlil dan Yassin. Bergantung kepada kemampuan keluarga si mati.

Sekali lagi Arief memberitahu Kak N, dia melihat Kak Jah sedang tersenyum. Tetapi kali ini kedudukannya semakin jauh dari semalam. Keadaan itu berlanjutan sehingga malam ke 7.

Kejadian itu Kak N ceritakan kepada suaminya. Suaminya memberitahu, mungkin Arief melihat Qarin arwah Kak Jah.

Sejak hari itu, Kak N dan suami menyedari Arief boleh melihat sesuatu yang ghaib. Namun selagi Arief tidak takut dan tidak mengganggu kehidupan Arief, Kak N dan suami tidak berasa bimbang.

Sehinggalah suatu hari, Arief sudah pun berusia 6 tahun dan mula bersekolah di sebuah TADIKA berhampiran. Berlaku satu peristiwa yang agak menyeramkan dan mula mengganggu ketenteraman hidup Kak N sekeluarga.

Arief yang memang tidak banyak kerenah dan seorang anak yang menurut kata, tiba-tiba sudah pandai membeli ‘jajan’ dan ada duit sendiri.

Setiap hari Arief membeli jajan walaupun Kak N dan suami tidak pernah memberi Arief sebarang duit belanja. Di TADIKA memang disediakan makan dan minum.

“Adik, banyaknya jajan adik beli? Dari mana adik dapat duit? Adik ambil duit orang ke?” tanya Kak N.

Kak N bimbang Arief mengambil duit ayahnya atau Kak N sendiri tanpa sedar atau meminta duit dari orang lain.

“Tak lahhh. Ada kawan bagi!” kata Arif sambil menyuap gula-gula lolipop ke dalam mulut.

“Habis tu dari mana Arief dapat duit setiap hari untuk membeli jajan?” tanya Kak N masih tidak puas hati.

“Kawan bagiiii!” Arief mengulang jawapan dengan yakin.

“Kawan mana?” tanya si ayah pula, suami Kak N.

“Kawan adik yang nama Faizal,” beritahu Arief.

Kak N dan suami cuba mengingat nama rakan-rakan Arief yang tinggal berdekatan rumah. Tiada seorang pun yang bernama Faizal.

Kak N tidak berpuas hati. Arief masih menerima duit seringgit pada setiap hari. Kak N merujuk pula pada guru TADIKA Arief. Jawapan yang diterima juga mengecewakan. Tiada murid sekelas Arief yang bernama Faizal.

Akhirnya Kak N dan suami bersemuka semula dengan Arief. Memujuk Arief untuk memberitahu di mana rakan yang bernama Faizal itu tinggal.

Bukan apa, bimbang jika keluarga Faizal mungkin tidak tahu tentang pemberian duit kepada Arief pada setiap hari. Takut timbul masalah di kemudian hari.

“Dekat mana Faizal tu tinggal dik?” tanya suami Kak N.

“Dekat belakang,” jawab Arief ringkas.

“Belakang mana?” Kak N mula hilang sabar.

“Belakang rumah kita,” jawab Arief lagi.

“Belakang rumah kita ni hutan. Mana ada rumah. Adik cuba cakap betul-betul!” suara Kak N mula meninggi.

Cepat-cepat suami Kak N mengurut belakang Kak N. Meminta Kak N bertenang.Tidak mahu Kak N hilang sabar dan mengganggu proses soal jawab.

“Betul dia tinggal di belakang rumah kita?” tanya suami Kak N.

“Ye, betul. Adik tak tipu,” kata Arief lagi yang sudah mula hendak menangis kerana diasak soalan demi soalan.

Suami Kak N terdiam. Dia sudah mengesyaki sesuatu. Dia pasti Arief berkata benar. Selama ini Arief memang anak yang baik dan jujur.

Suami Kak N bangun. Menuju ke atas meja kerjanya. Mengambil sehelai kertas dan sebatang pensel.

“Cuba adik lukiskan rupa kawan adik tu,” kata suami Kak N.

Arief mengambil helaian kertas yang diberi dan mulai melukis. Sememangnya Arief agak berbakat dan suka melukis sejak dari usia belum bersekolah.

Arief melukis gambar seorang budak lelaki yang lebih kurang sebaya usianya. Kak N dan suami memandang Arief melukis dengan tekun.

Arief memberi perincian terakhir. Perincian itu membuatkan Kak N dan suami melopong. Dada mereka berdebar kencang. Apa yang mengejutkan, budak lelaki yang dilukis itu mempunyai dua tanduk di atas kepala.

“Ini apa?” Kak N meminta kepastian sambil jarinya menuding ke arah kepala lukisan budak lelaki itu.

“Tanduk dia,” jawab Arief selamba.

Kak N dan suami terkedu!

Bersambung…

Penulis merupakan seorang guru sekolah rendah di Felda

Sumber – CERITA SERAM LEPAK SANTAI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker