Pengecat kereta ditahan Polis Johor bantu siasatan

 

Seorang pekerja sambilan cat kereta ditahan selepas didakwa memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan institusi Diraja Johor di media sosial, pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek lelaki tempatan berusia 42 tahun itu ditahan di kediamannya di Ulu Tiram, Johor pada jam 9.25 malam.

Katanya tangkapan dibuat selepas pihak polis menerima laporan daripada Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor berhubung komen di twitter atas nama ‘zion74rey @ reymizion74’ pada jam 2.30 petang, hari sama.

“Suspek ini kerja sambilan sebagai pengecat kereta. Dia pernah ada dua kes sebelum ini Seksyen 448 ceroboh dan khianat tahun lepas. Ceroboh sudah dijatuhkan hukum. Khianat pernah ditangkap. Dakwaaan berlaku ketidakpuasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor, Johor Bahru.

Dalam serbuan itu pihak polis turut merampas peralatan dan peranti yang dipercayai digunakan untuk membuat komen jelik terbabit.

Antaranya satu unit telefon, satu komputer dan peranti USB.

Keterangan suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata polis telah merekodkan keterangan dua suspek iaitu wanita bergelar ‘Datuk Seri’ dan peguam bagi kes melibatkan pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing menyalahguna nama Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam.

Katanya tiga lagi individu yang ada kaitan sedang dikesan.

Sebelum ini, media melaporkan polis Johor memburu tiga individu tempatan dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen surat akujanji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing menyalahguna nama TMJ.

Ia membabitkan dokumen ‘letter of undertaking’ pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada ringgit yang dipercayai palsu.

awani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker