1.2 juta masih belum divaksinasi

vaksinasi

 

Ketika negara mencapai sasaran 90 peratus indvidu dewasa lengkap menerima vaksinasi Covid-19 semalam, masih terdapat 5.2 peratus individu di Malaysia yang tidak divaksinasi.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, sehingga 11.59 malam tadi, peratusan berkenaan membabitkan kira-kira 1.2 juta penduduk dewasa di seluruh negara.

Mengikut data yang dikongsikan, Sabah adalah negeri yang terendah dari segi jumlah populasi dewasanya yang lengkap divaksinasi iaitu 65.1 peratus, diikuti Kelantan (73.6 peratus) dan Kedah (79.5 peratus).

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya optimis semua negeri akan mencapai kadar vaksinasi lengkap 80 peratus pada bulan ini, kecuali Sabah.

Susulan itu katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggiatkan program ‘outreach’ di negeri itu termasuk kempen gerak vaksinasi kepada masyarakat.

Sementara itu, seramai 21,073,482 individu dewasa di negara ini lengkap divaksinasi sehingga semalam, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus yang ditetapkan.

Peratusan itu dicapai selepas 70,408 individu melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka semalam, yang membolehkan perjalanan rentas negeri dan keluar negara dibenarkan bermula hari ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, seramai 22,185,520 individu dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi vaksinasi untuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 7.4 peratus sudah lengkap divaksinasi membabitkan 231,714 individu sehingga semalam, manakala 72.2 peratus atau kira-kira 1.27 juta sudah menerima satu dos vaksin.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi pada 20 September lalu, yang menyasarkan 3.2 juta remaja di negara ini untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button