Polis rampas kenderaan rasmi Norhizam

Polis merampas sebuah kenderaan rasmi kerajaan negeri yang sebelum ini didakwa enggan dipulangkan bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam itu dirampas pasukan polis di sebuah tempat letak kereta di Jalan Tun Perak, jam 11.20 pagi semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata rampasan itu dibuat pihaknya susulan laporan polis diterima membabitkan salah guna kenderaan rasmi kerajaan negeri secara tidak jujur.

 



Laporan polis dibuat oleh seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka mengatakan kenderaan terbabit tidak dipulangkan.

“Semalam, polis membuat permohonan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi mengeluarkan waran geledah untuk mengesan dan merampas barang kes.

“Susulan itu sepasukan polis merampas Toyota Camry terbabit bersama kunci kereta, kad Touch n Go dan satu kad minyak daripada pemandu rasmi Datuk Norhizam,” katanya.

Hingga kini seramai lima saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. Mereka terdiri daripada kakitangan pejabat (SUK) dan lebih ramai saksi yang akan dipanggil termasuk Datuk Norhizam.

“Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengetahui bagaimana kereta itu boleh diletakkan di lokasi itu dan apa kaitan dengan pemilik lot tempat letak kereta,” katanya.

Abdul Majid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker