Senator PAS dikecam kaitkan kes bunuh diri

 

Seorang senator PAS dikecam warganet dan seorang Ahli Parlimen kerana mendakwa drama dan filem Korea boleh dipersalahkan atas kes bunuh diri dalam kalangan remaja.

Mohd Apandi Mohamad dilaporkan berkata di Dewan Negara semalam bahawa hampir setiap filem atau drama keluaran Korea Selatan mengandungi unsur bunuh diri dan remaja di negara ini terpengaruh dengannya.

“Ramai remaja yang membunuh diri, setuju atau tidak, kebanyakannya terlalu terdorong dengan filem-filem dan drama dari Korea.


“Bila gagal, bunuh diri jawapannya. Adakah kerana mereka terlalu terpengaruh dengan dengan drama-drama Korea ini?” soalnya.

Mengulas kenyataan Apandi itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii bertanya drama Korea mana yang ditonton Senator itu, sambil menambah, beliau tidak menangani isu utama yang mendorong insiden bunuh diri.

“Ini terlalu ambil mudah dan meremehkan isu ini tanpa menangani masalah akar dan menyediakan sokongan yang diperlukan,” kata Yii di Twitter.

Apandi turut menerima kritikan keras daripada warganet dengan ada yang menyifatkannya sebagai satu “jenaka”.

Pengguna Twitter @ShahkeerahK berkata, ada banyak faktor lain yang mendorong remaja bunuh diri, sambil mengkritik pemimpin PAS itu atas kegagalannya mengetengahkan isu berkenaan.

“Tekanan daripada rakan sebaya dan dari segi akademik, isu keluarga antara masalah utama yang mendorong bunuh diri dalam kalangan remaja, namun anda tidak langsung ketengahkan ini.

“Ada juga drama Korea yang menekankan kepentingan kesihatan mental, seperti drama ‘It’s Okay To Not Be Okay’,” tambahnya.

Seorang lagi pengguna Twitter, @zira_sayshello meminta senator berkenaan mendidik dirinya sendiri tentang isu ini.

“Bila bercakap tanpa ilmu, begitulah bunyinya,” menurut hantarannya.

“Sila ambil serius tugas anda. Didik diri sendiri.”

@AAkuRinduIndie pula menyindir drama tempatan yang katanya mengandungi unsur-unsur seperti rasuah dan “tunggang agama”.

“Sepatutnya filem dan drama Malaysia kena ubah, bila gagal je kena rasuah, bila gagal je kena tunggang agama, baru menunjukkan kita terpengaruh dan terdorong dengan drama negara sebagai jawapannya,” katanya.

FMT

Leave a Reply