3 pelajar antara ditahan berparti

 

 

 



Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah serta seorang penuntut lelaki dan perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) antara 18 individu ditahan selepas terbabit dalam parti liar di sebuah inap desa di Alai, di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kesemua 14 lelaki, pelajar perempuan serta tiga wanita berusia lingkungan 15 hingga 24 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 1.25 pagi.

“Tiga pelajar terbabit antara 13 individu yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja menerusi ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkiflee berkata, ketika serbuan kesemua individu berkenaan sedang leka dan khayal selain polis menemukan pembesar suara dipercayai untuk berparti.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, dua daripada mereka turut didapati memiliki satu bungkusan plastik lut sinar dipercayai pil ecstasy seberat 0.45 gram dan satu ketulan mampat ceraian daun kering dadah jenis ganja seberat 2.60 gram.


Beliau berkata, kedua-duanya direman empat hari hingga 20 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kesemua individu lain yang didapati positif dadah hasil saringan awal air kencing itu pula disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952,” katanya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button