Maut ketika hantar rakan pulang

 

Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan di Jalan Sungai Buloh berdekatan Plaza Tol Bukit Jelutong (dari arah Sungai Buloh menghala Shah Alam) di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata,

siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 4.20 pagi semalam.

“Kejadian berlaku apabila mangsa yang memandu kereta Honda Civic dari arah Sungai Buloh ke Shah Alam dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pengadang jalan di sebelah kiri jalan dan berpusing ke arah bertentangan.


“Pemandu Muhammad Daniel Aifiq, 22, tersepit di dalam kenderaan dan dikeluarkan oleh anggota bomba. Dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala rakannya seorang wanita berusia 20 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Baharudin berkata, ketika kejadian, mangsa yang maut dalam perjalanan mahu menghantar pulang rakan wanitanya itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 0148066744,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya mengambil masa selama setengah jam mengeluarkan mangsa tersepit.

metro

Leave a Reply