Gobind bidas Peja, sekarang atau dah lama, aduan atlet perlu tindakan

 

Gobind Singh Deo membidas sikap Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu yang dilaporkan berasa hairan dengan tindakan ratu terjun negara Pandelela Rinong mendedak insiden lawak berbaur lucah membabitkan bekas jurulatihnya memandangkan kes itu sudah lama berlaku.

Beliau berkata, tidak ada sebarang had masa ditetapkan untuk seseorang membuat aduan berkaitan lawak berbaur lucah atau masalah jenayah kerana tindakan tetap perlu diambil terhadap pesalah.

“Menteri ini (Faizal) tidak layak menjadi Menteri Belia dan Sukan kerana tidak beri sokongan kepada mereka ataupun apa yang disebut Pandelela.



“Saya nak tanya menteri ini, adakah menteri ini tahu atau tidak tiada had masa untuk aduan-aduan berkaitan masalah jenayah. Kalau ada aduan, walaupun sudah lama (berlaku), ia seharusnya diambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat.

Gobind juga menambah Faizal seharusnya menjadi contoh dan memberi sokongan kepada Pandelela.

Dalam pada itu, Faizal berkata, beliau memahami bahawa tidak ada jangka masa untuk membuat aduan seperti itu, termasuk kes terbabit.

“Saya amat setuju dengan apa disebutkan. Saya faham tidak ada jangka masa.

“Tindakan sedang diambil. Jadi saya cuba lakukan mahu mendengar semua pihak sebelum beri penjelasan,” katanya.

Sebelum ini, Pandelela mendedahkan pengalamannya yang berdepan seorang jurulatih yang menjadikan perkara lucah sebagai bahan lawak.

 



Bagaimanapun semalam, Faizal menyatakan rasa hairan dan mempersoalkan mengapa baharu sekarang atlet terbabit mendedahkan perkara berkenaan sambil menjelaskan bahawa beliau ingin memahami keseluruhan senario itu.

Isu lawak rogol sebelum ini hangat diperkatakan susulan video tular yang memaparkan seorang pelakon tempatan, Fauzi Nawawi menceritakan semula babak rogol lakonannya bersama pelakon Raja Farah dalam sebuah rancangan televisyen.

FMT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker