Kes Mangsa Penculikan Ditahan Paling Lama oleh suspek

SANGAT menyedihkan apabila mendengar atau terbaca berita mengenai kanak-kanak dan remaja diculik penjenayah lalu dijadikan tebusan. Lebih malang ada dalam kalangan mangsa turut dijadikan mangsa seksual atau dijual.

Realitinya tidak semua mangsa culik bernasib baik dan berjaya ditemui semula. Sebahagian besar kes culik masih lagi belum dapat diselesaikan walaupun sudah berlaku puluhan tahun yang lalu.

Sebahagian lagi mangsa culik ada yang ditemui semula lalu kembali ke pangkuan keluarga, namun mengalami trauma yang serius sehingga memerlukan rawatan secara berterusan akibat diperlakukan dengan jijik oleh penculik.

Disenaraikan 3 kes penculikan mangsa paling lama ditahan oleh suspek pernah berlaku setakat ini.

 

CAMERON selepas ditahan polis , turut kelihatan kotak berupa keranda untuk kurung Colleen

1. Colleen Stan – Kes penculikan Cameron Hooker (7 Tahun)

– Kejadian berlaku tahun 1977, apabila Colleen berusia 20 tahun ketika itu meninggalkan rumahnya di Eugene, Oregon, untuk ke California dengan cara menumpang atau hitchhiking mana-mana kenderaan ke arah laluan sama.
– Colleen telah menumpang dua kenderaaan lain sebelum bertemu kereta dipandu Cameron Hooker, isterinya, Janice dan bayi mereka. Selepas beberapa jam perjalanan, Colleen diacu dengan pisau lalu diikat oleh Cameron sebelum dibawa pulang ke kediaman pasangan itu.
– Selama tujuh tahun Colleen dikurung di dalam sebuah kotak kayu menyerupai keranda di bawah katil pasangan itu. Colleen menghabiskan masa selama hampir 23 jam setiap hari di dalam kotak kayu itu dan hanya dikeluarkan untuk dirogol dan diseksa sahaja.

– Pada tahun 1984, Cameron yakin dia sudah mengawal minda Colleen sepenuhnya dan membenarkan wanita kerja secara sambilan di sebuah motel. Peluang ini diambil Collen untuk melarikan diri. Cameron akhirnya ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara 104 tahun.

 

NATASCHA diculik ketika berusia 10 tahun dan berjaya melepaskan diri selepas lapan tahun

2. Natascha Kampusch – Kes Penculikan oleh Wolfgang Priklopil  (8 Tahun)

Pada Mac 1998, Natascha Kampusch berusia 10 tahun telah diculik ketika sedang berjalan ke sekolahnya di Vienna, Austria. Dia ditahan di loteng sebuah rumah di pekan kecil di Strasshof.

Penculiknya, Wolfgang Priklopil, sering menyeksa, merogol dan memaksa Natascha lakukan kerja rumah secara berbogel. Natascha menyifatkan Wolfgang sebagai seorang yang paranoid, tidak menentu dan obses kepada kebersihan.

Wolfgang juga sangat menyanjungi Hitler dan menganggap dirinya sebagai tuhan Mesir. Dia juga sering membuatkan Natascha kebuluran supaya gadis itu tidak berdaya untuk melarikan diri.

Pada 23 Ogos 2006, Natascha berjaya melarikan diri ketika sedang membersihkan kenderaan Wolfgang di luar rumah. Beberapa jam kemudian, Wolfgang membunuh diri dengan melompat di hadapan kereta api yang sedang bergerak sebelum ditahan pihak berkuasa.

 

FUSAKO Sano diculik selama 9 tahun sebelum berjaya melepaskan diri

3. Fusako Sano – Kes Penculikan oleh Nabuyuki Sato (9 tahun)

Pada 13 November 1990, Fusako Sano berusia 10 tahun telah diculik selepas pulang menyaksikan satu perlawanan bola lisut di sekolahnya di Sanjo, Jepun. Dia diculik Nabuyuki Sato, seorang penganggur berusia 28 tahun yang mengalami gangguan mental.

Fusako dikurung di tingkat atas rumah Nabuyuki yang hanya terletak 200 meter daripada balai polis. Ibu Nabuyuki tinggal di tingkat bawah rumah itu dan tidak menyedari Fusako dikurung kerana Nabuyuki akan mengamuk setiap kali ibunya cuba naik ke atas.

Ibu Nabuyuki yang risau dengan keadaan anaknya yang semakin ganas menghubungi pihak kesihatan tempatan untuk memeriksa keadaan anaknya. Pada Januari 2000, pihak kesihatan membuat lawatan dan Nabuyuki mula bertindak ganas sehingga memaksa pihak polis datang.

Polis kemudian menemui Fusako yang dikurung selama 9 tahun 2 bulan oleh Nabuyuki dan ditemukan semula dengan keluarganya yang tinggal sekitar 60km daripada rumah penculik.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker