PRN Melaka; PN pertimbang calon muda sebagai taruhan

 

 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan mereka akan menampilkan orang muda sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pada sesi wawancara yang disiarkan di Facebook malam ini, bekas Perdana Menteri itu menegaskan, peranan golongan muda tidak boleh dinafikan sebagai calon sekiranya mereka berkelayakan.

“Dalam PRN Melaka, saya memikirkan soal anak muda terlebih dulu (sebagai calon pilihan raya), bukan orang lama.

“Lagi pun kalau mereka sesuai dan sebagainya, kenapa kita tidak boleh ketengahkan mereka untuk dijadikan calon dalam pilihan raya dan (sudah) ada pun senarai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sejauh mana suara orang muda didengari dalam politik.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, orang muda seharusnya diberikan peluang dan dibimbing untuk maju ke hadapan.

Katanya, dalam BERSATU misalnya, sebahagian besar ahlinya terdiri daripada golongan muda berkelayakan dengan kerjaya yang baik.

“Bagi saya, kita tidak boleh abaikan peranan mereka.

Perlu ada usaha susun lapis untuk melahirkan pelapis, membimbing mereka sehingga ke satu tahap, apabila sudah layak, beri peluang kepada mereka.

“Saya bersikap lebih terbuka dalam soal anak muda,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker