Pakatan Harapan muktamad agihan kerusi Melaka

 

Pakatan Harapan (PH) hari ini memuktamadkan agihan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Majlis Presiden.

“Selepas mengadakan pelbagai libat urus dan rundingan, kita sudah memutuskan dan memuktamadkan agihan kerusi PH untuk PRN Melaka.

Anwar Ibrahim

“Hasil rundingan itu, jumlah yang akan ditandingi ialah, DAP kekal lapan kerusi, Parti Amanah Negara (AMANAH) sembilan dan PKR akan bertanding 11 kerusi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Yang turur hadir, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Majlis Presiden PH sebulat suara akan menggunakan logo PH pada pilihan raya berkenaan.

Jelasnya, seluruh jentera ketiga-tiga parti komponen hanya akan menggunakan logo terbabit.

“Jadi seluruh kekuatan PH hanya menonjolkan logo Pakatan Harapan. Kita akan berjuang di atas satu logo, satu pendirian dan satu logo” katanya.

Selain agihan kerusi DUN, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Majlis Presiden PH turut memuktamadkan agihan kerusi Parlimen di Melaka untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Bagi kerusi Parlimen pula, PKR akan bertanding di dua kerusi, AMANAH juga dua, manakala DAP akan bertanding semula kerusi Alor Gajah.

“Ia adalah kerusi tradisi DAP sebelum diserahkan kepada BERSATU pada pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai hasrat parti MUDA pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bertanding di bawah logo PH , Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker