Lesap RM74,800 dipedaya ‘Doktor’ Ireland

 

Perkenalan singkat seorang wanita dengan seorang ‘doktor’ menerusi Facebook (FB) sejak awal Julai lalu membawa padah apabila mangsa kerugian RM74,800.

Mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah berusia 63 tahun itu sudah berkahwin dan berasal dari negeri Kedah mula berkenalan dengan suspek melalui FB sebelum berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, suspek dikatakan memperkenalkan dirinya sebagai Ibrahim Ali yang bekerja sebagai doktor dan menetap di Ireland.

Beliau berkata, suspek meminta bantuan daripada mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun suspek bagi mengaktifkan akaunnya.

“Suspek turut memberitahu dia ada mengirim barangan kepada mangsa sebagai tanda perkenalan.

“Mangsa kemudian dihubungi individu mengaku sebagai pihak syarikat kurier dan mengatakan terdapat barangan dikirim dari suspek lalu meminta mangsa membuat bayaran cukai serta denda bagi melepaskan barangan itu,” katanya, hari ini.



Elias berkata, atas dasar percaya dan keberahian melampau, mangsa memasukkan wang secara berperingkat melalui mesin deposit juruwang automatik ke dalam tiga akaun bank yang diberikan suspek.

Katanya, mangsa membuat bayaran bermula September hingga Oktober lalu sebanyak 25 transaksi berjumlah RM74,800.

“Kesemua wang itu adalah simpanannya sendiri. Bagaimanapun mangsa mengesyaki dia ditipu selepas suspek meminta mangsa membuat pembayaran lagi menyebabkan dia membuat laporan polis di Baling, semalam.

“Berikutan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan Love Scam ini dan jangan mudah percaya dengan pujuk rayu daripada individu tidak pernah dikenali melalui media sosial,” katanya.

Menurutnya, semak nombor telefon dan nombor akaun di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Katanya, sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi CCIS Response Center di talian 03-26101559 / 1599.



metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button