Scammer Curi gambar sebelum jaja pelaburan haram

Kuala Lumpur: Curi gambar profil pegawai eksekutif dan penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum dijaja sindiket scammer pelaburan tidak wujud bertujuan menipu orang ramai.

Itu antara taktik kotor digunakan sindiket scammer yang dikesan turut menggunakan gambar pendakwah terkenal, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat.

Sindiket didakwa menawarkan pelaburan tidak munasabah di laman media sosial dengan menjanjikan keuntungan RM32,999 bagi pelaburan asas RM1,000.



Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ayu, 40-an, berkata, dia menyedari perbuatan scammer selepas dimaklumkan rakannya pada 4 Mei lalu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat dikongsi, sindiket scammer mencuri gambarnya melalui direktori Angkasapuri RTM sebelum ditampal pada laman pelaburan tidak wujud.

“Melalui laman pelaburan itu, gambar profil saya diletakkan dengan jawatan sebagai perancang pelaburan di Pelaburan Mara Berhad.

“Turut disertakan gambar pendakwah terkenal, Syamsul Debat yang dijadikan ikon pelaburan patuh syariah tidak wujud.



“Melalui iklan pelaburan palsu itu, orang ramai ditawarkan melabur serendah RM300 bagi mendapatkan pulangan RM13,999. Ini diikuti pelaburan RM500 yang menjanjikan pulangan RM15,999. Manakala individu melabur RM1,000 ditawarkan pulangan lumayan RM32,999,” katanya.

Dia berkata, lebih mengejutkan apabila sindiket mendakwa keuntungan itu boleh diperolehi dalam tempoh hanya tiga jam selepas pelaburan dilakukan.

“Saya mendapat tahu suspek menggunakan media sosial WhatsApp cuba memperdaya orang ramai menggunakan gambar dan nama saya.

“Susulan itu saya buat laporan di Balai Polis Pantai di sini, semalam, berikutan bimbang gambar dan identiti saya digunakan sindiket,” katanya.



Menurutnya, tindakan dilakukan sindiket dibimbangi boleh menyebabkan ramai pengguna laman sosial terpedaya dengan taktik sindiket.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button