Sukan Asia: Kutipan emas bertambah

Sukan Asia: Kutipan emas bertambah

Sukan Asia: Kutipan emas bertambah
PASUKAN skuasy wanita berjaya menyumbang emas ketiga kontinjen negara selepas menewaskan Hong Kong pada aksi final. – FB MAJLIS SUKAN NEGARA

KONTINJEN negara menambah pungutan pingat emas ketiga pada Sukan Asia Hangzhou menerusi kejayaan skuasy berpasukan wanita selepas menewaskan juara bertahan, Hong Kong 2-1 pada aksi final di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou semalam.

Kejayaan itu membuktikan Malaysia kembali bergelar kuasa besar skuasy Asia dan mengubati kekecewaan selepas sekadar meraih pingat gangsa acara berkenaan sewaktu edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Pada final semalam, skuad negara tidak diberikan laluan mudah apabila Rachel Arnold tewas 2-3 kepada Tong Tsz Wing dengan keputusan 11-7, 7-11, 11-8, 8-11, 6-11 dalam pertarungan yang memakan masa selama 57 minit.



Bagaimanapun, S. Sivasangari kembali menghidupkan peluang skuad negara dengan kemenangan mudah 3-0 ke atas pemain perseorangan kedua Hong Kong, Ho Tze-Lok menerusi keputusan 11-5, 11-8, 11-6.

Walaupun turun dengan tekanan tinggi, tetapi wakil terakhir negara, Aifa Azman tiada masalah untuk memastikan emas menjadi milik Malaysia menerusi kemenangan 11-5, 11-8, 11-13, 11-8 dalam tempoh 36 minit.

“Semua pemain kita bermain dengan bagus terutama Aifa dalam kelasnya tersendiri. Alhamdulillah kita rampas semula pingat yang terlepas pada 2018,” kata pengurus skuasy negara, Mohd. Nafzahizam Mohd. Adnan.

Skuad berpasukan skuasy lelaki pula terpaksa berpuas hati berkongsi pingat gangsa dengan Hong Kong selepas tewas di peringkat separuh akhir kelmarin.



Sukan Asia: Kutipan emas bertambah

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Gagal Tebuk Atap Di Putrajaya, PAS Cuba Di Pahang Pula



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button