Sindiket penyeludupan PATI Ibu Ani tumpas

Sindiket penyeludupan PATI Ibu Ani tumpas
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim (kanan) menunjukkan sebuah bot yang dirampas sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin yang diketuai Ibu Ani di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor, Pelabuhan Klang.

Sindiket penyeludupan PATI Ibu Ani tumpas

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didalangi seorang wanita warga asing dikenali Ibu Ani.

Sindiket berkenaan tumpas selepas Ibu Ani yang berusia 56 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah flat dekat Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada jam 5.45 pagi, 5 November lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim, berkata kejayaan tangkapan Ibu Ani adalah susulan penahanan 25 PATI serta enam ejen darat dan laut berusia 20 hingga 60 tahun sekitar jam 4 pagi pada hari sama di Pulau Angsa serta pesisiran pantai Sungai Janggut, Kapar.



“Hasil siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan dipercayai bermula sejak tiga tahun lalu dan kembali aktif empat bulan lalu yang mana Ibu Ani bertindak sebagai agen menguruskan kemasukan serta keluar PATI dengan bayaran sekitar RM1,500 dan RM2,000.

“Bayaran berkenaan merangkumi semua kemudahan yang akan disediakan kepada PATI termasuk penginapan, kenderaan, makanan dan lain-lain.

“Turut dirampas adalah sebuah bot; sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV); dua buah van dan beberapa buah telefon bimbit yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM450,000,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Selangor di sini hari ini.


Disyorkan Untuk Anda :


Mohammad Rosli berkata, susulan penahanan wanita itu, Maritim Malaysia turut mengesan beberapa agen yang berkemungkinan terbabit dalam sindiket yang sama.



Katanya, siasatan dan tangkapan susulan akan dilakukan terhadap ejen berkenaan selepas ini.

Mohammad Rosli berkata, sindiket berkenaan akan menempatkan PATI di flat yang turut didiami warga asing yang mempunyai dokumen sah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket ini juga membawa PATI dengan menggunakan kenderaan yang disewa justeru saya mengingatkan agar pemilik kenderaan memeriksa terdahulu siapa penyewa supaya kenderaan mereka tidak disita (sekiranya ditahan pihak berkuasa).

“Sindiket turut bertindak berkongsi mengenai testimoni perkhidmatan yang ditawarkan di aplikasi WhatsApp bagi menarik warga asing yang ingin menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman 14 hari untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dengan memberi penumpuan terhadap tekong atau ejen-ejen terlibat supaya kegiatan jenayah itu dapat dibanteras sepenuhnya.

Sindiket penyeludupan PATI Ibu Ani tumpas

Disyorkan Untuk Anda :


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker