‘Jangan sampai TFC jadi macam Negeri Sembilan’

'Jangan sampai TFC jadi macam Negeri Sembilan'
PETEH menasihatkan penyokong patuhi SOP.

‘Jangan sampai TFC jadi macam Negeri Sembilan’

KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) kesal dengan tindakan penyokong Terengganu FC (TFC) memasuki padang dan memeluk pemain skuad itu sebagai meraikan jaringan ketika berdepan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ahad lalu.

Presidennya, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris berkata tindakan itu berisiko meletakkan skuad kendalian Nafuzi Zain dalam bahaya sekiranya berlaku penularan COVID-19 dan boleh menerima nasib sama seperti pasukan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, penyokong yang hadir ke stadium seharusnya mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).



“Bukannya tidak boleh meraikan jaringan namun perlulah mematuhi SOP kerana keselamatan adalah keutamaan ketika penularan COVID-19 belum lagi terkawal sepenuhnya.

“Bayangkan jika Terengganu menerima nasib seperti Negeri Sembilan, sudah pasti sia-sia saja usaha pemain bermain bermati-matian untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

“Oleh itu, jaga tingkah laku dan patuhi arahan dikeluarkan demi keselamatan semua pihak kerana Terengganu antara pasukan berpotensi beraksi di final Piala Malaysia,” katanya.

Semalam, BH Sukan melaporkan MFL akan melakukan siasatan mengenai insiden penonton yang dipercayai penyokong TFC memasuki padang dan memeluk pemain skuad itu untuk meraikan jaringan yang dihasilkan Jordan Mintah.



Sebagai rekod, Negeri Sembilan terpaksa menarik diri dari saingan Piala Malaysia musim ini selepas sebahagian besar pemain mereka dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid menegaskan semua penyokong perlu lebih berdisiplin mematuhi peraturan dan pihak keselamatan juga perlu memperketatkan kawalan bagi mengelak insiden sama tidak berulang.

Faizal berkata, pihaknya bimbang sekiranya pelanggaran peraturan atau SOP seperti itu boleh menyebabkan kebenaran penyokong memasuki stadium ditarik balik oleh kerajaan.

“Memang perkara itu tidak membabitkan penyokong Selangor, tapi ia berlaku di gelanggang Selangor. Jadi kita harap perkara sama tidak berulang dan jangan rosakkan kepercayaan yang diberikan kerajaan,” katanya.



‘Jangan sampai TFC jadi macam Negeri Sembilan’


Disyorkan Untuk Anda :


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button