India kerah ribuan tentera ke Kashmir

India kerah ribuan tentera ke Kashmir
Anggota Pasukan separa Tentera India melakukan pemeriksaan di Srinagar, Kashmir. – Foto AFP

India kerah ribuan tentera ke Kashmir

SRINAGAR: India mengerahkan ribuan lagi anggota separa tentera ke Kashmir, susulan siri pembunuhan terancang yang dipercayai didalangi puak pemberontak sejak kebelakangan ini.

New Delhi sejak berdekad lalu menempatkan sekurang-kurangnya 500,000 tentera di wilayah dekat Himalaya itu, yang turut dituntut dan dikawal sebahagiannya oleh negara berjiran, Pakistan.

Jurucakap Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF), Abriham Pankaj, berkata sekitar 2,500 anggota sudah tiba dan mereka dikerahkan ke seluruh lembah Kashmir, dengan lebih ramai lagi dalam perjalanan ke kawasan terbabit.

Seorang lagi pegawai polis yang enggan dikenali berkata sekitar 5,000 anggota separa tentera tambahan dikerahkan mulai minggu ini, termasuk daripada Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF).

Segelintir anggota ditempatkan di dewan komuniti awam yang diperkukuhkan dengan benteng beg pasir, sekali gus mengingatkan era 1990–an apabila pemberontakan bersenjata menentang India sedang memuncak.

Pemberontakan berkenaan menyepi sejak kebelakangan ini selepas puluhan ribu individu, kebanyakannya orang awam, terbunuh dalam konflik terbabit.

Sejumlah 12 orang ditembak mati sejak bulan lalu dalam kes pembunuhan terancang, termasuk polis, buruh asing dari negeri utara India dan ahli setempat daripada komuniti Sikh serta Hindu.

Puak pemberontak yang terbabit dalam peperangan menuntut kemerdekaan Kashmir sejak 1989 atau penggabungan bersama Pakistan, dipercayai menjadi dalang di sebalik serangan ini.

Segelintir individu yang terbunuh dituduh oleh puak pemberontak tempatan, Resistance Front, sebagai anggota pasukan keselamatan.

Polis dan anggota separa tentera berpakaian jaket kalis peluru serta memegang senapang automatik dilihat mempergiatkan pemeriksaan dalam kalangan penduduk, termasuk kanak-kanak di jalanan.

Sejak kebelakangan ini, anggota baharu dilihat mundar-mandir di pusat pemeriksaan baharu yang ditempatkan di seluruh Srinagar.

Kashmir yang dihuni majoriti penduduk Islam berdepan konflik antara India dan Pakistan, sejak mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada 1947.

Kemarahan semakin memuncak di wilayah berkenaan sejak Ogos 2019 apabila New Delhi menarik balik dasar separa autonomi separa dan mengembalikan Kashmir di bawah pemerintahan langsung kerajaan pusat. – AFP

India kerah ribuan tentera ke Kashmir


Disyorkan Untuk Anda :


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker