Jualan kenderaan mencemar dihentikan menjelang 2040

Jualan kenderaan mencemar dihentikan menjelang 2040
Aktivis alam sekitar mengadakan tunjuk perasaan sempena Sidang Kemuncak Iklim COP26 di Glasgow, Scotland menuntut semua negara mempercepatkan sasaran mengurangkan pelepasan karbon kepada 2022 berbanding 2025. – Foto AFP

Jualan kenderaan mencemar dihentikan menjelang 2040

GLASGOW: Negara dan pengeluar semalam bersetuju untuk menghentikan penjualan kenderaan menggunakan enjin pembakaran dalaman menjelang 2040.

Walaupun ia selari dengan tekad dizahirkan pada Sidang Kemuncak Iklim COP26, empat negara pengeluar kenderaan terkemuka dunia masih enggan menandatangani perjanjian sedemikian.

Berdasarkan perjanjian pada sidang kemuncak itu, tuan rumah, Britain, mahu itu negara yang menandatanganinya hanya menjual kenderaan jenis sifar pelepasan berkuat kuasa 2040 dan mula melakukannya di pasaran utama sebelum 2035.

Katanya, kerajaan yang merintis inisiatif ke arah mewujudkan kenderaan sifar pelepasan sebagai norma baharu akan disokong, dengan menjadikannya mudah diperoleh, berpatutan dan lestari di seluruh wilayah menjelang 2030.

Bagaimanapun, negara peneraju pengeluaran kenderaan dunia, China, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Jerman, tidak mengemukakan pendirian mereka dalam pengumuman berkenaan.

Pengeluar kenderaan seperti Toyota, Volkswagen dan Renault-Nissan-Mitsubishi turut tidak dimasukkan dalam senarai.

Kenderaan jenis Ford, Mercedes-Benz, General Motors dan Volvo yang sebelum ini mempunyai komitmen untuk menghentikan pengeluaran kenderaan menggunakan enjin pembakaran dalaman pula menyertai dalam perjanjian itu.

Kenderaan yang digunakan di jalan raya menyumbang kepada pembebasan gas dan menyebabkan sekitar 20 peratus daripada pencemaran karbon dijana manusia.

Dalam perjanjian berasingan semalam, Britain berkata pihaknya akan menghentikan penjualan kenderaan perdagangan berat menggunakan enjin diesel menjelang tempoh 2035 hingga 2040.

Setiausaha Pengangkutan Britain, Grant Shapps, berkata ketetapan itu melakar detik bersejarah.

“Ini kerana pelbagai kerajaan di seluruh dunia berganding bahu ke arah usaha penjualan kereta, van dan kenderaan perdagangan berat yang sifar pelepasan karbon secara 100 peratus,” katanya.

Kumpulan alam sekitar bagaimanapun membangkitkan mengenai aspek perjanjian itu yang tidak meliputi pengeluar utama kenderaan menggunakan enjin pembakaran dalaman.

Pengarah Eksekutif Greenpeace Jerman, Martin Kaiser, melahirkan kekecewaan dan kebimbangan apabila negara dan pengeluar utama tidak menyertai perjanjian berkenaan.

“Untuk menghentikan bahan bakar fosil baharu, kita perlu hentikan kebergantungan terhadapnya.

“Ia bermakna peralihan daripada enjin pembakaran dalaman kepada kenderaan menggunakan kuasa elektrik dan pengwujudan rangkaian pengangkutan awam yang ‘bersih’ perlu disegerakan,” katanya.

Toyota yang mempertahankan keputusannya untuk tidak memeterai perjanjian itu berkata model perniagaan global syarikat berkenaan bakal berdepan kesukaran bagi memenuhi tekad sedemikian.

Pengurus Besar Kilang Toyota ZEV, Kohei Yoshida, yang menerajui bahagian pengeluaran kenderaan sifar pelepasan berkata banyak pendekatan lain yang boleh digunakan bagi mencapai neutral karbon, berbanding memeterai perjanjian itu. – AFP

Jualan kenderaan mencemar dihentikan menjelang 2040


Disyorkan Untuk Anda :


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker