Rayuan Deepak dan dua yang lain gagal

 

Ahli perniagaan, J.R. Deepak Jaikishan dan dua yang lain gagal di Mahkamah Rayuan hari ini untuk menghidupkan saman yang dikemukakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Deepak dan adiknya J. Rajesh serta Carpet Raya Sdn. Bhd. memfailkan saman terhadap ketiga-tiganya pada 2018 berhubung cukai yang dikenakan terhadap mereka selepas didakwa bertindak sebagai proksi bagi pasangan suami isteri itu.

Perkara tersebut ditentukan selepas panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah sebulat suara menolak rayuan itu dan memerintahkan mereka membayar kos RM10,000 kepada Najib dan Rosmah manakala RM10,000 lagi kepada Abdul Azeez.

 



Beliau yang bersidang bersama Datuk Azizah Nawawi dan Datuk S. Nantha Balan berpuas hati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul ketika membatalkan tuntutan saman tersebut.

Panel itu berpendapat, rayuan ahli perniagaan itu tiada merit kerana pernyataan tuntutan tersebut jelas tidak dapat dikekalkan dan akan gagal jika perbicaraan diteruskan.

Dalam prosiding rayuan yang dijalankan secara dalam talian, peguam Daniel Annamalai mewakili perayu-perayu manakala David Mathews mewakili Najib serta Rosmah dan Datuk Prem Ramchandran mewakili Abdul Azeez.

Deepak merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Julai tahun lalu yang membatalkan tuntutan samannya terhadap ketiga-tiga pihak berhubung cukai yang dikenakan selepas didakwa bertindak sebagai proksi bagi pasangan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan Abdul Azeez setelah berpuas hati kes plaintif jelas tidak dapat dikekalkan.

Beliau berpendapat, pernyataan tuntutan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah yang merupakan elemen penting untuk menyokong tuntutan konspirasi merosak, misfeasans dalam kedudukan awam dan pelanggaran tugas.

Terdahulu, dalam saman yang difailkan pada 15 November 2018, Deepak mendakwa antara 2004 dan 2010, beliau dan Carpet Raya bertindak sebagai ejen kepada Najib dan Rosmah dalam urus niaga tanah serta urusan perniagaan seperti yang diarahkan oleh pasangan itu.

Beliau juga mendakwa defendan ketiga (Abdul Azeez) turut bertindak sebagai ejen untuk Najib dan Rosmah untuk menjalankan urus niaga serta bertindak sebagai perantara antara pasangan dan plaintif kedua, Carpet Raya.

Deepak mendakwa, ekoran transaksi itu beliau menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai yang dikenakan terhadap Carpet Raya dan cukai pendapatan berjumlah lebih RM6 juta tidak termasuk caj penalti dan faedah.

Deepak mendakwa dia menerima surat berkenaan selepas hubungannya dengan pasangan itu menjadi keruh pada 2012.

Ia berikutan keengganannya untuk mematuhi arahan mereka dalam kes sivil yang membabitkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Plaintif mendakwa Najib dan Rosmah turut mengarahkan tindakan undang-undang dibuat terhadap Carpet Raya dan petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac 2017 oleh LHDN, malah petisyen itu disiarkan di akhbar tempatan.

Mereka mendakwa akibat petisyen itu, perniagaan dan reputasi semua plaintif terjejas dan Deepak juga dilarang meninggalkan negara ini selain kemudahan perniagaan mereka ditarik balik oleh Maybank manakala kontrak syarikat dengan IKEA dibatalkan.

Mereka mahu mendapatkan pengisytiharan mahkamah, Najib dan Rosmah bertanggungjawab membayar tunggakan cukai yang dikenakan terhadap syarikat itu.

Mereka juga mahu ganti rugi sebanyak RM500,000 yang dibayar kepada Maybank; RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat untuk memenuhi kontrak dan jualannya; RM74 juta untuk pembatalan kontrak syarikat dengan IKEA; RM200 juta kerana dakwaan fitnah dan RM37 juta kerugian yang disebabkan oleh salah laku Najib.

Mereka juga mahu ganti rugi teladan sebanyak RM100 juta.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker