Giliran Britain kecewakan Malaysia

Johor Bahru: Seperti dijangka skuad remaja negara tumpas lagi, kali kini mudah diratah juara bertahan, Britain 2-4 pada Kejohanan Bawah 21 tahun (B21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-10 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, sebentar tadi.

Apapun, ketua jurulatih skuad remaja negara, Muhamad Amin Rahim tampak sedikit lega walaupun tewas tapi sudah dapat melihat peningkatan corak permainan yang dipamerkan barisan pemainnya terutama pada babak kedua.

“Ada kebangkitan yang ditonjolkan setiap pemain pada permainan suku keempat yang membolehkan kita menjaringkan dua gol dan ia menunjukkan peningkatan dan ada karakter untuk berlawan.

“Cuma kita kena perbetulkan kelemahan yang sering dilakukan apabila begitu mudah memberi pukulan sudut penalti dan kerap hilang fokus sehingga pasukan mengambil kesempatan daripada kelekaan pemain” kata Muhamad Amin.

Seawal minit kedua, gawang skuad remaja negara bolos selepas pukulan deras Tom Moorhouse di dalam kawasan D gagal dihalang penjaga gol, Rafaizul Saini.

Tersentak dengan jaringan awal itu, anak didik Muhamad Amin cuba menyusun strategi untuk memburu gol penyamaan tapi ketandusan kreativiti apabila gagal menyusup masuk ke kawasan D menjadi halangan utama pemain muda negara.

Sebaliknya skuad kendalian Jon Bleby bijak mengambil kesempatan daripada kealpaan benteng skuad remaja negara apabila mencipa gol kedua di minit ke-17 pada suku kedua babak pertama menerusi gol padang Fred Newbold yang mudah menewaskan Rafaizul.

Bersambung suku ketiga babak kedua, anak didik Bleby tidak menunggu lama untuk menambah derita skuad remaja apabila berjaya menjaringkan gol ketiga perlawanan pada minit ke-34 menerusi pukulan sudut yang dijaringkan Jamie Golden menewaskan Rafaizul.

Gol keempat Britain terhasil pada minit ke- 43 apabila Harrison Stone mudah menggelecek tiga pertahanan skuad remaja negara sebelum menolak bola menewaskan Rafaizul

Berbaki 10 minit untuk ditamatkan skuad remaja negara melakukan kebangkitan apabila Danish Aiman Khairil Anuar berjaya menjaringkan gol padang dan disusuli gol menerusi pukulan sudut penalti oleh Shahmie Irfan Suhaimi untuk meletak kedudukan 2-4 namun jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Amandeep menjadi penyelamat India untuk memastikan pasukan itu mencatat keputusan seri 5-5 dengan Australia pada aksi yang penuh dramatik.

India terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang seawal minit kedua permainan menerusi Dhami Boby Singh namun Austraiia bangkit menyamakan jaringan selang seminit kemudian oleh Liam Hart.

Skuad kendalan Jay Stacy mendahului 2-1 selepas Jack Holland menjaringan gol padang pada minit kelapan tapi kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Sharda Nand Tiwari menyamakan jaringan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti.

Pada minit ke-18 suku kedua babak pertama, skuad kendalian CR Kumar berada di depan selepas Hundal Araijeet Singh menjaringkan gol padang tapi Australia bangkit menyamakan jaringan 3-3 selang dua minit kemudian apabila Joshua Brooks mudah menyempurnakan penalti.

Namun pada minit ke-35 Tiwari meletak India berkedudukan 4-3 selepas menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti tapi ia tidak bertahan lama apabila Brooks menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Australia yang di ambang kemenangan selepas Jake Lambert menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-41 tersentap apabila Amandeep mencipta gol penyamaan di minit akhir permainan untuk mencatat keputusan seri 5-5.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker