Pertukaran jawatan politik amalan biasa apabila kerajaan baharu

KUALA LUMPUR: Keputusan Jemaah Menteri menamatkan perkhidmatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik adalah langkah biasa apabila kerajaan baharu dibentuk.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, keputusan kerajaan itu bukan satu yang pelik.

“Apabila kerajaan baharu dibentuk, tentunya lantikan baharu dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan dibuat menggantikan lantikan kerajaan lama.

“Sama ada lantikan baharu ini adalah lantikan dalam kalangan orang politik, korporat, akademik atau sebagainya bergantung kepada kesesuaian dan budi bicara kerajaan (semasa),” katanya kepada BH.



Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Kabinet kelmarin memutuskan perkhidmatan pengerusi dan ahli majlis lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan dengan segera.

Keputusan itu membabitkan jawatan di badan berkanun Persekutuan, syarikat Menteri Kewangan Diperdanakan, GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Sementara itu, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh berkata jawatan yang diberikan datang dan pergi serta menyifatkan apa yang berlaku ada hikmahnya

Sebelum ini dilaporkan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menegaskan tidak akan melepaskan jawatannya itu.



Beliau menegaskan hanya akan berbuat demikian selepas pengerusi baharu dilantik kerana kontraknya memegang jawatan itu selama dua tahun dan tamat pada 2024.

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, beliau enggan mengulas isu berkenaan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker