Aidil puji komitmen pemain Kedah

Aidil puji komitmen pemain Kedah
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Gustavo Silveira Da Silva (kanan) diasak pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mohd Rizal Mohd Ghazali pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Darul Aman, malam tadi. – BERNAMA

Aidil puji komitmen pemain Kedah

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak tetap memuji komitmen pemainnya yang berusaha keras mengawal perlawanan walaupun tidak mencipta sebarangan jaringan ketika seri berdepan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.

Pengendali dari Singapura itu mengakui, sukar buat skuad Hijau Kuning bimbingannya yang hanya menampilkan dua pemain import selain disertai lima pemain muda untuk memikul tugas berat mengekang penguasaan skuad Harimau Selatan.

“Saya mengakui kami tidak memiliki pemain lengkap pada perlawanan ini dengan hanya dua pemain import sahaja beraksi dan ini bukan sesuatu yang mudah buat kami kerana kita tahu JDT adalah pasukan yang hebat.



“Kita boleh lihat di barisan pertahanan mereka dibarisi pemain-pemain berkualiti dan agak sukar untuk kami menembusi kubu mereka, namun kami juga memberi tentangan hebat kepada mereka dengan tanpa dibolosi.” katanya.

Aidil berkata, beliau sudah mengingatkan semua pemain untuk meningkatkan tahap disiplin masing-masing dan memberi komitmen tinggi sebelum aksi perlawanan penting di laman sendiri itu.

“Sebelum perlawanan bermula, saya sudah beritahu pemain akan kemahuan serta disiplin dan kesungguhan tinggi diperlukan pada aksi malam ini dan kita boleh lihat usaha pemain kami tenyata sangat berbeza berbanding perlawanan ketika menentang Melaka United.

“Walaupun kami tidak memperoleh gol pada malam ini, namun pemain pertahanan kami berjaya menunjukkan permainan berkualiti dan seterusnya kami hanya perlu melengkapkan satu babak lagi di tempat lawan selepas ini,” katanya.

Aidil bagaimanapun berharap kelebihan dimiliki JDT yang akan beraksi di laman sendiri tidak akan mengendurkan semangat juang pemainnya bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.



“Kami tetap menerima hakikat bahawa JDT adalah sebuah pasukan yang mahukan kejuaraan dan ianya tidak mudah buat kami apabila berdepan mereka sekali lagi.

“Dalam bola sepak, kita harus mempercayai kemampuan setiap pemain dan mereka perlu terus bersemangat untuk memburu kemenangan walaupun ianya dilihat sukar kerana itu adalah lumrah bola sepak dan kita tak tahu, apa saja boleh berlaku.

“Bola sepak memang ada kejutan dan kami berharap dapat lakukan kejutan di tempat lawan nanti.” katanya.

Aidil puji komitmen pemain Kedah


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button