Parti, calon diingatkan hati-hati guna media sosial
Pasukan khas polis dibahagikan tiga kumpulan pantau media sosial 24 jam sepanjang kempen PRN Melaka. – foto fail BERNAMA
Parti, calon diingatkan hati-hati guna media sosial
MELAKA: Polis mengingatkan pihak berkepentingan seperti parti politik dan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka agar sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial ketika berkempen bagi menyuburkan proses demokrasi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi memantau platform media sosial secara 24 jam untuk mengenal pasti hantaran yang dimuat naik dalam medium berkenaan.
“Pasukan ini membabitkan tiga kumpulan secara bergilir memantau hantaran untuk kita pastikan mereka menggunakannya dengan cara sihat dan bukan untuk menghina, mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menghina mana-mana pihak.
Ini adalah tanggungjawab kita untuk suburkan demokrasi dan bukannya menghasut antara satu sama lain,” katanya dalam program Bicara Khas “Keselamatan PRN Melaka Ke-15” secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, malam ini.
Disyorkan Untuk Anda :
- PRN MELAKA: ‘SERANGAN’ BOSSKU KE ATAS DURIAN TUNGGAL MEMBUATKAN SOFI WAHAB LONGLAI
- PRN MELAKA: CALON BN DUN DURIAN TUNGGAL BERJANJI AKAN SELESAIKAN MASALAH BANJIR YANG GAGAL DI SELESAIKAN OLEH SOFI WAHAB
- PENDUDUK DURIAN TUNGGAL DEDAHKAN TEMBELANG SOFI WAHAB (BAHAGIAN 2)
Abdul Majid berkata apabila sesuatu kesalahan dikesan polis akan membuat laporan supaya siasatan adil dapat dijalankan seterusnya menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu beliau menasihatkan parti dan calon supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses pilihan raya secara norma baharu di negeri ini yang terbaik untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.
“Situasi di negeri ini amat terkawal dan terjamin, kita dapat lihat rakyat di Melaka menjalani kehidupan seperti biasa, tiada insiden yang mengganggu-gugat walaupun SOP baharu dilaksanakan pada PRN kali ini di samping kematangan parti-parti politik bertanding,” katanya.
Polis juga komited menguatkuasakan undang-undang dalam menjaga ketenteraman awam bagi memastikan rakyat keluar mengundi beramai-ramai dan mereka tidak perlu gusar kerana keselamatan mereka dilindungi di negeri ini.
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.
– BERNAMA
Parti, calon diingatkan hati-hati guna media sosial