Kepimpinan FAM bertemu Perdana Menteri

Kepimpinan FAM bertemu Perdana Menteri
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga kiri) menyampaikan cenderamata berupa jersi skuad Harimau Malaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena kunjungan hormat kepimpinan badan induk itu di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. – Foto ihsan Facebook FAM.

Kepimpinan FAM bertemu Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkongsi mengenai usaha mereka menstabilkan semula industri bola sepak negara yang masih terkesan dengan impak COVID-19 kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kunjungan hormat di Bangunan Parlimen, semalam.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengetuai delegasi FAM dalam pertemuan itu memaklumkan mereka juga membentangkan dengan terperinci mengenai kalendar dan pengurusan terkini pasukan kebangsaan, pengurusan pertandingan domestik dan antarabangsa kepada Perdana Menteri.

Selain itu, beliau berkata program pembangunan teknikal dengan matlamat memperkasakan lagi pasukan kebangsaan termasuk pasukan bawah 22 tahun, bola sepak wanita, belia, bola sepak pantai dan futsal antara antara topik yang turut disentuh.



“Turut dibincangkan ialah perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketujuh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014,” katanya dalam satu hantaran pada akaun Facebook milik FAM hari ini.

Turut mengiringi Hamidin ialah dua Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram selain Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Hamidin juga memohon pandangan perdana menteri mengenai usaha membangunkan tanah hak milik FAM yang lain bagi tujuan pembangunan bola sepak Malaysia di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau pada masa sama percaya Ismail Sabri adalah seorang pemimpin yang arif dan mampu memahami situasi semasa industri bola sepak negara, memandangkan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2008 sehingga 2009.



Sehubungan itu, Hamidin berpendapat pandangan Ismail Sabri penting buat FAM terutama dalam melaksanakan perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara.

– BERNAMA

Kepimpinan FAM bertemu Perdana Menteri


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button