4 sekeluarga terkandas di gurun diselamatkan

4 sekeluarga terkandas di gurun diselamatkan
Van kembara dinaiki mangsa yang terkandas di Gurun Simpson. – FOTO AMSA/AFP

4 sekeluarga terkandas di gurun diselamatkan

CANBERRA: Empat sekeluarga berjaya diselamatkan, petang semalam, selepas lima hari terkandas di pedalaman Australia.

Keluarga Zavros diselamat menggunakan helikopter dan dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Ori dan Lindsey Zavros bersama dua anak mereka, Zane serta Zoe, dilaporkan terkandas di Gurun Simpson di pedalaman Australia Selatan sejak Jumaat lalu apabila van kembara yang dinaiki mereka terbenam dalam lumpur berikutan hujan lebat.

Sebaik saja tiba di Coober Pedy yang juga sebuah bandar perlombongan terletak 850 kilometer ke utara Adelaide, Ori berkata, keluarganya ‘selamat.’

“Ia agak sukar tetapi kami berjaya melaluinya. Kami bimbang akan terperangkap di sana selama beberapa minggu dalam keadaan cuaca panas,” katanya menurut laporan Xinhua yang memetik Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Keluarga itu mengembara ke seluruh Australia dengan menaiki van kembara mereka, sebelum terkandas lalu segera mengaktifkan suar kecemasan yang mendorong pihak berkuasa untuk bertindak.

Sebuah pesawat Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) menemui kenderaan yang tersangkut itu, Jumaat lalu, dan menggugurkan telefon satelit serta bekalan makanan kepada mereka.

Bagaimanapun, cuaca buruk dan banjir di kawasan itu melambatkan usaha menyelamat.

Polis berkata, kenderaan keluarga itu ditinggalkan di lokasi kejadian. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker