Pencemaran udara di Delhi capai tahap berbahaya

Pencemaran udara di Delhi capai tahap berbahaya
Keadaan pencemaran di New Delhi yang dilitupi asap dan kabus tebal. – FOTO EPA

Pencemaran udara di Delhi capai tahap berbahaya

NEW DELHI: Delhi menutup sekolah, menggesa orang ramai untuk bekerja dari rumah dan melarang trak tidak penting daripada memasuki ibu kota India, berikutan masalah pencemaran udara yang kini mencapai tahap berbahaya.

Delhi yang mempunyai kira-kira 20 juta penduduk dan merupakan antara bandar paling tercemar di dunia, lazim dilitupi asap serta kabus tebal pada setiap musim sejuk.

Sabtu lalu, Kerajaan Delhi mengarahkan sekolah ditutup selama seminggu dan melarang pelaksanaan kerja pembinaan selama empat hari.

Namun dalam satu arahan diluluskan semalam, Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara untuk Delhi mengumumkan semua institusi pendidikan kekal ditutup hingga suatu tarikh akan dimaklumkan kemudian.

Menurut arahan itu lagi, lori kecuali yang membawa muatan penting, dilarang daripada memasuki ibu kota hingga 21 November ini, manakala kebanyakan aktiviti pembinaan turut dihentikan sementara.

Selain itu, arahan juga dikeluarkan supaya ‘senapang anti-asap dan kabus’ serta pemancut air beroperasi di kawasan ‘hotspot’ sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

Enam daripada 11 loji kuasa haba yang terletak dalam lingkungan radius 300 kilometer pula diarahkan henti beroperasi hingga suatu tarikh dimaklumkan kemudian.

Seterusnya, suruhanjaya itu berkata, sekurang-kurang 50 peratus daripada kakitangan kerajaan harus bekerja dari rumah dan petugas dalam firma swasta turut digalakkan untuk berbuat sedemikian.

Arahan itu menyusul beberapa hari selepas Kerajaan Delhi menolak gesaan Mahkamah Agung India supaya ‘perintah berkurung pencemaran’ diisytiharkan – yang pertama – di mana penduduk bandar terbabit akan dikehendaki berkurung di rumah.

Antara penyumbang pencemaran udara pada musim sejuk itu adalah asap daripada pembakaran sisa tanaman oleh petani di negeri jiran.

Bagaimanapun, kerajaan memberitahu Mahkamah Agung bahawa industri adalah penyumbang terbesar pencemaran itu, diikuti pencemaran kenderaan dan debu.

Menurut satu laporan Lancet pada 2020, hampir 17,500 orang meninggal dunia di Delhi pada 2019 akibat pencemaran udara.

Malah, satu laporan tahun lalu oleh organisasi IQAir yang berpangkalan di Switzerland, mendapati 22 daripada 30 bandar paling tercemar di dunia adalah di India. – AFP

Pencemaran udara di Delhi capai tahap berbahaya




Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook kami


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker