Pfizer meterai perjanjian pelesenan global untuk pil COVID-19

Pfizer meterai perjanjian pelesenan global untuk pil COVID-19
Pfizer sudah menandatangani perjanjian sublesen pengeluaran pil Paxlovid kepada pengeluar ubat generik, tanpa menerima royalti. – Foto AGENSI

Pfizer meterai perjanjian pelesenan global untuk pil COVID-19

GENEVA: Syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS) hari ini mengumumkan perjanjian yang akan menjadikan ubat antiviral mulut COVID-19 yang lebih murah di negara miskin, jika pil terbabit lulus ujian dan kelulusan kawal selia.

Pfizer yang menghasilkan vaksin COVID-19 dengan makmal BioNTech, berkata pihaknya sudah menandatangani perjanjian sublesen pengeluaran pil Paxlovid kepada pengeluar ubat generik, tanpa menerima royalti.

Perjanjian dengan Kumpulan Paten Ubat (MPP) global itu akan menjadikan calon ubat tersedia pada kos yang lebih rendah di 95 negara berpendapatan rendah dan sederhana meliputi sekitar 53 peratus penduduk dunia.



Ia hampir menyamai perjanjian serupa produk pesaing AS, Merck & Co bulan lalu. Ubat itu harus diambil bersama ritonavir ubat HIV.

Data interim daripada ujian sementara yang sedang dijalankan menunjukkan pengurangan 89 peratus dalam risiko kemasukan ke hospital atau kematian berkaitan COVID-19 berbanding plasebo, pada golongan dewasa berisiko tinggi yang tidak dirawat di hospital dengan COVID-19 dalam tempoh tiga hari selepas simptom bermula, kata Pfizer.

Katanya lagi, keputusan yang sama dilihat dalam tempoh lima hari bermulanya gejala.

MPP yang berpangkalan di Geneva ialah organisasi antarabangsa yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berfungsi untuk memudahkan pembangunan ubat-ubatan untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana.



Pengarah eksekutif MPP, Charles Gore, berkata lesen itu sangat penting berikutan jika dibenar atau diluluskan, ubat melalui mulut itu amat sesuai untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana dan boleh memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa.

“Ubat itu akan diambil bersama dengan ritonavir, ubat HIV yang digunakan sejak bertahun dan kami akan bekerjasama dengan syarikat generik untuk memastikan bekalan mencukupi untuk kedua-duanya, COVID-19 dan HIV,” katanya.

Pfizer akan melepaskan royalti ke atas jualan di semua negara yang dilindungi perjanjian itu, manakala COVID-19 kekal diklasifikasikan sebagai Kebimbangan Antarabangsa Darurat Kesihatan Awam oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bulan lalu, WHO mengekalkan tahap amaran tertinggi berhubung penyebaran virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID19.

Paxlovid atau PF-07321332, ialah terapi antiviral penyiasatan yang direka untuk menyekat aktiviti protease SARS-CoV-2-3CL iaitu enzim yang perlu ditiru oleh coronavirus.

Diambil bersama dos rendah ritonavir, ia memperlahankan pecahan PF-07321332.

Justeru, ia kekal berada dalam badan dalam tempoh lama pada kepekatan tinggi, yang membantu memerangi virus.

MPP yang diasaskan oleh Unitaid, mengusahakan inovasi untuk mencegah, mendiagnosis dan merawat penyakit utama di negara-negara miskin.

“Ketika pandemik, ia menjimatkan masa sekali gus bermakna menyelamatkan nyawa. Perjanjian ini boleh membantu kami menjangkau lebih ramai orang dengan lebih cepat sebaik ubat diluluskan dan, apabila ditambah dengan peningkatan akses kepada ujian, membawa manfaat kepada berjuta-juta orang,” kata Pengarah Eksekutif Unitaid, Philippe Duneton.

Pemegang sublesen berpotensi mempunyai masa sehingga 6 Disember untuk mendaftarkan pernyataan minat.

Pengumuman itu dibuat selepas MPP bulan lalu menandatangani perjanjian serupa dengan Merck.

Perjanjian pelesenan sukarela itu akan memudahkan akses di seluruh dunia yang mampu dimiliki untuk ubat antivirus mulut molnupiravir.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan kawal selia.

Perjanjian itu akan membantu mewujudkan akses luas kepada molnupiravir di 105 negara berpendapatan rendah dan sederhana. – AFP

Pfizer meterai perjanjian pelesenan global untuk pil COVID-19



Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook kami


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker