Zainal tekad bawa Melaka ke final
Penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi (tiga dari kanan) cuma menepis keluar bola pada aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi. Melaka menang 2-1 dan sekali gus layak ke separuh akhir dengan agregat 3-1.

Zainal tekad bawa Melaka ke final

MELAKA: Pengendali Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan bertekad untuk membawa pasukannya mara dan melakar sejarah baharu dalam saingan Piala Malaysia selepas menundukkan Sabah FC 2-1 dalam saingan suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat, di sini malam tadi.

Kejayaan ke pusingan separuh akhir dengan agregat 3-1 selepas 38 tahun itu disifatkannya amat bermakna, namun tidak mahu terus dibuai rasa gembira kerana mempunyai tempoh singkat untuk merancang strategi berdepan Kuala Lumpur pada 22 November ini di tempat lawan.

“Alhamdulillah. Secara keseluruhan pemain mengekalkan momentum dan menunjukkan displin dari awal hingga akhir perlawanan.

“Cuma banyak peluang terlepas dan itu tidak dinafikan mereka perlu perbaiki corak permainan kerana dalam pusingan sebegini gol adalah amat penting,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam tadi.

Terdahulu pada perlawanan disaksikan kira-kira 7,000 penonton itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk merobek gawang Sabah seawal minit ke-3 permainan menerusi Adriano Narcizo yang gagal diselamatkan penjaga gol Rozaimie Rohim dan keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Skuad Sang Kancil terus melebarkan jurang gol menerusi pemain import dari Haiti, Sony Norde pada minit ke-77 dan ketika permainan menghampiri penamat, Sabah dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Risto Mitrevski pada masa tambahan.

Sementara itu, Jurulatih Sabah Datuk Ong Kim Swee berkata gol awal Melaka merosakkan perancangan pasukannya untuk bangkit mencari kemenangan pada perlawanan timbal balik itu.

“Namun saya berpuas hati dengan persembahan pemain terutamanya pemain muda Sabah dalam Piala Malaysia ini kerana mendapat satu pengalaman. Saya percaya tahun hadapan mereka akan bertambah matang seterusnya di situ kita mampu mengubah skrip,” katanya.

– BERNAMA

Zainal tekad bawa Melaka ke final


Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook kami


Leave a Reply