Sultan Kedah pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja

 

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan semasa mesyuarat ke-256 pada 19 dan 20 Feb 2020 yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Terdahulu, sebelum mempengerusikan mesyuarat bermula 11 pagi itu, Sultan Sallehuddin berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Sultan Sallehuddin kemudian turut berkenan menanam pokok Rajah Kayu (Cassia Fistula) di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik Sultan Kedah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman Pokok tersebut.

 

 

KKU dan Majlis Penanaman Pokok adalah cetusan idea Sultan Abdullah dan tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU diadakan julung kalinya pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-254 manakala Majlis Penanaman Pokok pertama kali diadakan pada mesyuarat kali ke-255.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis.

Raja-Raja yang berangkat ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Nazrin Shah; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Sementara itu, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra; Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Perlis diwakili Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Ketua Menteri.

 BERNAMA

Leave a Reply